Berita

China eksport lebih 200 bilion pelitup muka pada 2020

- Diterbit 15 Januari 2021 7:01 AM MYT

CHINA telah mengeskport peralatan dan barangan untuk kegunaan mencegah wabak COVID-19 bernilai RMB438.5 bilion (RM273 bilion) dari Mac hingga Disember 2020.

Menurut data dikeluarkan Jabatan Pentadbiran Am Kastam pada Khamis, ia termasuk 224.2 bilion pelitup muka bernilai RMB340 bilion (RM212 bilion), bersamaan 40 keping untuk semua penduduk dunia kecuali di China.

Jurucakap jabatan Li Kuiwen berkata 65 bilion daripada 220 bilion adalah kateogri pelitup muka perubatan.

Selain itu, sebanyak 2.31 bilion peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk 773 juta PPE perubatan, 289 juta pelindung mata dan 2.92 bilion pasang sarung tangan pembedahan.

China juga mengeksport sejumlah 1.08 bilion kit ujian reagen COVID-19 sebagai sokongan terhadap usaha pemeriksaan virus.

Li berkata, di samping memenuhi keperluan pencegahan dan kawalan wabak dalam negara, China sebagai pembekal terbesar, telah mengeskport peralatan dan barangan mencegah wabak kepada kebanyakan negara dan kawasan di dunia untuk bersama-sama berusaha memerangi pandemik COVID-19. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas