KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersyukur dan merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melakukan pelarasan gaji melalui pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata pengumuman itu menunjukkan kerajaan sangat mengambil berat tentang penjawat awam.
Menurutnya, CUEPACS juga menyeru seluruh anggota sektor awam untuk terus kekal beriltizam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
Adnan berkata CUEPACS menyeru seluruh penjawat awam untuk terus menunjukkan satu komitmen lebih tinggi.
“Pembaharuan yang begitu cepat dan mampu kami beri pada rakyat dalam bentuk sistem penyampaian perkhidmatan pada rakyat dengan lebih berkesan lagi.
“Kita seru seluruh penjawat awam baiki segera dan percepatkan beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya selepas mendengar Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan serta profesional manakala pegawai kumpulan pengurusan tertinggi adalah sebanyak tujuh peratus. – WILAYAHKU