Berita

Cetak rompak: Industri Media dan Hiburan Malaysia rugi RM3 bilion

- Diterbit 23 Februari 2021 3:40 PM MYT

INDUSTRI Media dan Hiburan Malaysia (E&M) menanggung kerugian tahunan sebanyak RM3 bilion dan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan disebabkan kegiatan cetak rompak digital.

E&M dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan ia juga menyebabkan ramai individu kehilangan pekerjaan, justeru pihak kerajaan perlu melakukan kajian semula ke atas undang-undang sedia ada berkaitan isu cetak rompak digital yang giat berlaku di negara ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM) Zahrin Aris dalam kenyataan sama berkata hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada mereka yang melakukan kesalahan berkenaan.

Pengarah Kawal-Selia Astro Laila Saat yang mengalu-alukan tindakan ke atas penjual Peranti Perisian Penstriman Haram (ISD) berkata cetak rompak pada hari ini dilihat seakan-akan menjadi kebiasaan sehingga ramai yang terleka dan terlupa bahawa ia merupakan sebahagian daripada perbuatan mencuri.

“Cetak rompak adalah musuh utama industri…ia merompak hasil kerja setiap mereka yang terlibat dalam ekosistem kreatif tersebut; daripada pelakon, penulis, penerbit, pengarah dan jurugambar, yang secara langsung menghalang sebarang pembangunan,” katanya.

Pada 8 Feb lepas, sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) di Shah Alam, Selangor merupakan syarikat pertama yang didakwa di mahkamah kerana melanggar Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual apa-apa teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam subseksyen 36A (3) akta sama dan mahkamah menetapkan 1 Mac untuk menjatuhkan hukuman.

Pada 16 Feb, seorang wanita mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki enam unit Kotak TV Media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi Internet secara tidak sah dan didenda RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menjadikan beliau sebagai pesalah pertama disabit kesalahan menjual ISD. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas