DALAM era digital pada hari ini, bukan suatu perkara yang mudah untuk memantau budaya fitnah dan hasutan secara dalam talian dan media sosial.
Timbalan Dekan Akademik dan Teknologi, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Shafiza Mohd Shariff berkata bagaimanapun dengan adanya akta sosial media, pihak berkuasa dapat meminta platform sosial media memberi kerjasama dalam memantau posting rakyat Malaysia.
“Ini boleh dibandingkan dengan maklumat palsu dan benar bagi mengelakkan atau mengurangkan fitnah.
“Jika hendak monitoring yang holistik, banyak perlu diambil kira,” katanya.
Menurut Shafiza model program Neuro Linguistik Programming (NLP) yang efisien boleh digunakan dan dibangunkan bagi membolehkan proses implementasi.
Katanya, kerajaan juga perlu mendapat kebenaran platform media sosial untuk membolehkan data profile dan data posting.
“Rakyat perlu tahu dan memberi consent data mereka di monitor.
“Jika akta hanya mengambil kira laporan mangsa, kena kenal pasti kaedah untuk memastikan bukti adalah sah dan tidak dimanipulasi.
“Jika posting adalah baru dan tidak ada lagi penilaian, sistem pemantau perlu boleh crawl Internet dan memberikan predictive analysis dan penilaian manual perlu dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, agak sukar juga jika agen kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk membuat posting fitnah atau berkaitan kesalahan siber di media sosial.
“Cyber threat intelligence yang mempunyai ciri AI perlu juga diambil kira untuk membuat proses detection secara automation,” katanya.
Pada Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan secara dalam talian dan media sosial, yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan serta berpecah-belah.
Justeru titah baginda, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul serta dipercayai.
Selain itu, Sultan Ibrahim menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.
Pada masa sama, Baginda bertitah supaya pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini dilaksanakan segera. – WILAYAHKU