ASALNYA objektif utama penubuhan Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI) untuk memberi peluang kepada masyarakat mendalami pengajian al-Quran secara percuma. Ini kerana, naluri pengasasnya, Datuk Rizalman Ibrahim lebih banyak terdorong pada nawaitunya untuk melakukan jariah dengan menyediakan prasarana yang kondusif selain perkhidmatan yang komprehensif.
Hasrat yang baik dan niat Rizalman yang mulia itu dipermudahkan Allah menerusi Dar Al-Qari Resources (Dar Al-Qari) yang diasaskan untuk memastikan literasi al-Quran dalam kalangan umat Islam khususnya mereka yang berhajat untuk mendalaminya. Bertitik tolak dari situ, pusat pengajian al-Quran diasaskan di Johor Bahru dan Kuala Lumpur itu menarik minat ramai.
“Alhamdulillah, sejak dari awal lagi penubuhan Dar Al-Qari ialah untuk berdakwah dan usaha itu semakin berkembang,” kata Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan dalam wawancara baru-baru ini.
Kepada Jailani, setiap usaha yang dirintis oleh Yayasan RI memberi pemahaman mendalam bahawa kerja-kerja dakwah mencakupi ruang yang sangat besar.
Beliau memberikan contoh bagaimana Rizalman terdetik hati untuk membawa golongan penggali kubur, orang yang memandikan jenazah, muazzin mahupun mualaf untuk menunaikan ibadah umrah di bawan portfolio Musafiri.
Kata Jailani, menawarkan peluang mengerjakan umrah kepada golongan yang tidak pernah terfikir akan berkunjung ke Tanah Suci atau tidak memiliki kemampuan menawarkan erti yang sangat besar buat Yayasan RI.
“Saya secara peribadi sangat sebak dan terharu melihat mereka yang kali pertama menjejakkan kaki ke Masjidil haram. Saya dapat merasakan betapa luhur dan jujurnya mereka dalam mensyukuri peluang yang Allah berikan.
“Peluang buat saya dan pasukan membimbing golongan ini ke Tanah Suci juga memberi kepuasan dan kegembiraan kepada kami. Perasaan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” kata Jailani lagi.
Untuk rekod, sehingga kini 200 golongan yang terpilih sudah berpeluang menunaikan umrah di bawah tajaan Yayasan RI di bawah portfolio Musafiri. Sementara tajaan kenderaan jenazah pula sudah mencecah angka 14 buah.
Tidak ketinggalan dalam kerja-kerja baik pulih masjid pula, Yayasan RI telah menjelajah seluruh negara selepas mengenal pasti masjid-masjid yang memerlukan pemulihan. Yayasan RI juga ke Kemboja untuk membaik pulih masjid di sana.
Pada masa depan, Yayasan RI akan bekerjasama dengan universiti tempatan untuk menulis semula enam kitab hadis utama ke bahasa Melayu.
“Kita mendapati tiada kitab hadis dalam bahasa Melayu, paling terdekat dalam bahasa Indonesia. Insya-Allah segala gerak kerja sudah digerakkan dan insya-Allah apabila siap kelak akan kami edarkan,” jelas Jailani mengenai enam kitab, hadis iaitu Bukhari, Muslim, al-Nasaí, Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah.
Terbaharu, Yayasan RI selesai membaik pulih Rumah Komuniti Malaysia (MCH) Liverpool, United Kingdom, menerusi dana sebanyak RM500,000. Niat itu terbit selepas melihat premis berkenaan ‘tidak bermaya’ serta memerlukan pemuliharaan bagi memastikan peranannya kembali seperti sebelum itu.
Untuk rekod, bangunan tiga tingkat MCH Liverpool dibangunkan oleh sejumlah mantan kelasi kapal berbangsa Melayu di sekitar tahun 1970-an. Tujuan asal bagi membolehkan pesara-pesara itu dan keluarga terus meraikan kehidupan sebagai orang Melayu di penempatan di luar bandar yang jaraknya hampir 300 kilometer dari kota London.
Komitmen Yayasan RI pada MCH, kata Rizalman, bertitik tolak pada matlamat organisasi itu yang menjadi medium ke arah membina dan mengukuhkan komuniti sejagat.
Jauh lebih utama, bantuan ke MCH Liverpool di bawah jenama Qari International itu, jelas beliau, berteraskan pada tanggungjawab menyediakan prasarana dan perkhidmatan yang komprehensif dalam kerja-kerja pembangunan ummah.
“Sebagai khalifah di bumi Allah SWT, saya melihat ada keperluan untuk saya membantu. Ia bukan untuk diri saya tetapi lebih kepada memberi sinar dan harapan kepada warga Malaysia di Liverpool berhubung kepentingan MCH.
“Dari itu, saya menyimpan niat dan keazaman untuk memberikan sinar baharu kepada warga Malaysia di Liverpool dengan membaik pulih bangunan itu di bawah payung Yayasan RI,” kata Rizalman yang turun padang ke Liverpool bagi menyempurnakan majlis perasmian wajah baharu MCH, minggu lalu. – WILAYAHKU