KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) melaksanakan pengesanan awal dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 yang berisiko cicir bagi memastikan mereka hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut kementerian itu, pengesanan awal tersebut membolehkan pihak sekolah membuat perancangan bagi melaksanakan intervensi yang bersesuaian.
“Bagi calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2024, KPM turut menyediakan ruang dan peluang kepada mereka untuk mendaftar menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian pada tahun-tahun berikutnya bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya atau mencari peluang pekerjaan.
“KPM yakin dengan usaha berterusan dan komitmen semua pihak akan dapat meningkatkan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM untuk tahun-tahun seterusnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KPM menjawab soalan mengenai statistik terperinci ketidakhadiran calon SPM selain langkah-langkah intervensi awal yang dilaksanakan.
Jelas kementerian itu, analisis menunjukkan seramai 6,540 orang calon tidak hadir bagi SPM 2020 dan seramai 10,681 orang calon bagi 2021.
Bagi peperiksaan SPM 2022 pula katanya, seramai 14,858 orang calon tidak hadir menduduki peperiksaan dan 10,160 orang calon bagi SPM 2023.
“Bagi peperiksaan SPM 2024, berdasarkan analisis sehingga 22 Januari lalu, seramai 8,164 orang calon dilaporkan tidak hadir menduduki peperiksaan.
“Antara sebab ketidakhadiran calon bagi peperiksaan SPM adalah termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar
negara,” katanya.
KPM menambah, bagi menangani isu ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan SPM, pihaknya turut melaksanakan intervensi antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) agar memudahkan pihak sekolah melaksanakan intervensi.
KPM juga jelasnya, mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat dan memantau status murid berisiko cicir melalui papan pemuka (dashboard) bertujuan untuk memastikan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM dan mengoptimumkan tindakan intervensi yang bersesuaian. – WILAYAHKU