Berita

Calon SPM sertai Bengkel SPM Matematik Dan Sejarah 2023, PPj beri peluang pelajar kuasai subjek teras

PARA pelajar didedahkan dengan teknik belajar dan kaedah menjawab soalan dalam bengkel tersebut.
- Diterbit 29 Disember 2023 9:30 AM MYT

SERAMAI 42 orang pelajar tingkatan lima menyertai Bengkel SPM Matematik Dan Sejarah 2023 di Auditorium 1, Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya baru-baru ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program yang diadakan pada 23 dan 24 Disember 2023 itu adalah bagi meningkatkan kualiti pendidikan warga sekolah di sekitar Lembah Klang termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya selain membentuk jati diri sebagai persiapan ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Program tahunan anjuran Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) ini diadakan bertujuan untuk membantu calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh tips, kaedah menjawab dan membincangkan soalan-soalan ramalan bersama tenaga pengajar yang berpengalaman.

“Dalam masa sama, program ini dilihat mampu melahirkan pelajar yang mempunyai keyakinan diri dan bersedia dalam menghadapi peperiksaan SPM sekali gus boleh melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.

“Selain itu, bengkel ini diharap dapat membantu para pelajar di tingkatan lima untuk membuat persiapan intensif bagi menduduki SPM bermula 30 Januari ini,” ujarnya.

Fadlun berkata para pelajar turut didedahkan dengan teknik belajar dan kaedah menjawab soalan di bawah bimbingan guru-guru yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam mata pelajaran Matematik dan Sejarah.

“Pihak PPK juga telah melantik empat orang tenaga pengajar daripada Mathpower Sdn Bhd untuk mengendalikan bengkel selama dua hari itu,” ujarnya berharap dengan penganjuran program itu dapat membantu peserta mendapat keputusan SPM yang cemerlang.

Di samping itu, Fadlun berkata respons yang diterima daripada pelajar amat memberangsangkan di mana pelajar dilihat mudah memahami kaedah yang diberikan selain mempunyai ruang untuk bertanyakan soalan jika maklumat tersebut kurang jelas.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan bengkel tersebut juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) iaitu SDGs 4: Quality Education, SDGs 11: Sustainable Cities and Communities dan SDGs 17: Partnership For The Goals.

Tambahnya, bengkel yang bermula pukul 10.30 pagi hingga 4.30 petang itu dianjurkan PPj dengan kerjasama PPK.

Untuk makluman mengenai aktiviti anjuran PPK 2024, boleh layari laman sesawang PPK atau hubungi talian 03-8887 7667 / 7670 / 7671 / 7681. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas