Berita

Calon parti Bebas… Baby Shima nekad bertanding dalam PRN

- Diterbit 24 Julai 2023 10:10 AM MYT

PENYANYI popular, Baby Shima nekad mahu bertanding pada Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Pelantun lagu Pura-Pura Bujang itu mengatakan, misinya bertanding kerana mahu membela nasib rakyat.

“Assalamualaikum rakyat Malaysia. Dengan ini saya ingin mengumumkan yang saya akan bertanding PRN ini untuk berkhidmat dan membela rakyat.

“Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” katanya dalam sebuah video hantaran di Instagramnya.

Dalam masa yang sama, Shima menegaskan dirinya serius dan merancang mahu bertanding mewakili pasti Bebas.

“Jujurnya saya memang serius mahu bertanding pada PRN ini dengan menjadi calon parti Bebas. Kawasan mana tu, saya akan umumkan bila tiba masanya.

“Bagi saya, dengan sokongan yang diberikan, golongan artis sebenarnya boleh mewakili rakyat terutamanya dalam menyuarakan hasrat anak-anak muda.

“Saya cuma mahukan yang terbaik untuk rakyat. Kalah atau menang itu soal nombor dua. Tidak salah untuk mencuba perkara baik. Doakan saya ya!” Katanya kepada Wilayahku.

Penglibatan selebriti dalam dunia politik bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini ramai yang turut berkempen untuk pilihanraya.

Antaranya ialah Aishah, Anne Ngasri, Dira Abu Zahar, Herman Tino, Datuk Afdlin Shauki, Azwan Ali, Datuk Hans Isaac, Datuk Ahmad Idham, Datuk Eizlan Yusof dan ramai lagi. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas