PELAKSANAAN Caj Kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur, menyamai kajian dijalankan pihak berkuasa di New York dan Singapura.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ia juga selari dengan hasil kajian antarabangsa termasuk pengalaman dari bandar seperti London dan Stockholm.
“Untuk memastikan kejayaan inisiatif yang masih di peringkat kajian ini, kadar Caj Kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu.
“Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj berkenaan menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai mekanisme Caj Kesesakan yang bakal digunakan jika dilaksanakan kerajaan.
Zaliha memberitahu, pengalaman dari bandar seperti London dan Stockholm menunjukkan pelaksanaan Caj Kesesakan mampu mengurangkan kesesakan sehingga 20 ke 30 peratus manakala kajian di New York dan Singapura mendapati sistem ini boleh menurunkan jumlah trafik sekitar 10 ke 15 peratus.
Katanya, kajian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) pada 2020 menunjukkan kerugian ditanggung negara akibat kesesakan alan raya ialah RM20 bilion.
“Ini bermakna, dianggarkan bagi setiap satu peratus kesesakan yang berjaya dikurangkan, terutamanya di Central Business District (CBD) seperti Bukit Bintang, Lembah
Pantai, Setiawangsa dan Wangsa Maju, kerajaan dapat mengurangkan kerugian negara sebanyak RM200 juta.
“Kuala Lumpur adalah sebuah bandar raya yang mencatatkan purata kenderaan keluar masuk sebanyak 1.5 juta sehari dan purata 24 jam, dalam satu-satu masa, terdapat enam juta kenderaan di dalam ibu kota ini.
“Dalam masa yang sama, jumlah pengguna pengangkutan awam di Kuala Lumpur hanyalah 25 peratus,” katanya.
Beliau menambah, pengguna jalan raya lebih memilih untuk membawa kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam disebabkan kelemahan dalam first mile – last
mile.
“Dalam hal ini, saya senada dengan Menteri Pengangkutan bahawa penguatkuasaan Caj Kesesakan tidak sesuai dilakukan sebelum sesebuah bandar raya mempunyai integrasi sistem pengangkutan awam yang lengkap.
“Sehubungan dengan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian Caj Kesesakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya Malaysia (MIROS) dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC),” katanya. – WILAYAHKU