GERAKAN Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia bersama 31 lagi badan bukan kerajaan (NGO) mengecam syor dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya penduduk Palestin di Gaza dipindahkan ke Jordan atau Mesir.
Dalam kenyataan bersama NGO berkenaan, mereka melihat syor berkenaan tidak munasabah dan hanyalah percubaan untuk memberi ganjaran kepada jenayah berat penjajah Israel yang telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Palestin.
“Pembersihan etnik rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat sentiasa menjadi satu matlamat utama zionis Israel.
“Tindakan memindahkan keluar 2.2 juta penduduk Gaza akan membantu Israel mencapai objektif pembersihan etnik Israel terhadap warga Palestin.
“Ia juga akan menjadi ganjaran kepada Israel sebagai balasan pembunuhan beramai-ramai selama 15 bulan yang dilakukan di Gaza baru-baru ini,” jelas NGO berkenaan.
Menurut kenyataan bersama itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam keputusan pentingnya pada 19 Julai lalu telah mengisytiharkan tindakan Israel menduduki Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah menyalahi undang-undang.
Katanya, keputusan itu disokong oleh resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 18 September 2024.
“Ini bermakna Israel melanggar kedua-dua ketetapan ICJ dan resolusi UNGA. Rancangan Trump, jika berlaku, akan mengekalkan dan sebenarnya memberi ganjaran kepada pelanggaran undang-undang Israel,” katanya.
Untuk itu NGO berkenaan menggesa Trump untuk menghadapi realiti dan menerima hakikat bahawa ancaman bom mahupun peluru tidak akan membuatkan rakyat Palestin mahu meninggalkan tanah yang mereka miliki secara sah.
Katanya, apa yang telah berlaku di Gaza selama 15 bulan yang lalu adalah bukti.
Selainnya jelas NGO terbabit, undang-undang antarabangsa sepenuhnya menyebelahi rakyat Palestin dalam persoalan pendudukan Israel di wilayah Palestin.
“Keamanan yang didakwanya ingin dilihat berlaku hanya boleh berlaku jika disertai dengan keadilan dan itu bermakna Israel mesti mematuhi undang-undang antarabangsa sepenuhnya dan menamatkan pendudukannya di Palestin dan mengiktiraf hak untuk rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka,” katanya.
Sehubungan dengan itu, NGO terbabit menyeru kerajaan Malaysia, yang dipuji kerana sentiasa lantang menyokong perjuangan Palestin, untuk melangkaui retorik semata-mata.
Katanya, antara tindakan konkrit yang boleh diambil ialah memulakan langkah untuk mengumpulkan sokongan dan mengatur usaha negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah pengusiran Israel daripada badan dunia itu.
“Tindakan sebegitu tidak dapat dipertikaikan lagi dengan mengambil kira kezaliman negara apartheid terakhir di dunia itu, serta penghinaan yang dilakukannya selama ini terhadap PBB,” tegasnya.
Terdahulu Presiden AS itu mengesyorkan penduduk Palestin di Gaza dipindahkan ke Jordan atau Mesir, yang disifatkannya mungkin menjadi sesuatu yang ‘sementara atau kekal’.
Hampir kesemua 2.4 juta penduduk Gaza terpaksa berpindah akibat perang yang tercetus pada 7 Oktober 2023, malah ramai antara mereka terpaksa berpindah beberapa kali.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan kumpulan Hamas menegaskan pendirian mereka untuk menentang sebarang cadangan pemindahan rakyat Palestin secara paksa dari Gaza. – WILAYAHKU