Artikel

Cadangan sekolah bertingkat realistik

CADANGAN pembinaan sekolah konsep menegak adalah bagi mengatasi masalah keluasan tanah yang terhad. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 April 2025 10:00 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

PROJEK perumahan bertingkat atau flat di Kuala Lumpur bermula dengan Flat Kampung Kerinchi pada 1962. Salah satu sebabnya adalah pertambahan jumlah penduduk Kuala Lumpur selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Kuala Lumpur menjadi tumpuan warga yang datang dari seluruh negara untuk menikmati gelembung ekonomi di ibu kota.

Memanglah pada mulanya konsep kediaman bertingkat itu merupakan suatu yang amat asing berbanding kebiasaan didirikan dengan ketinggian satu atau dua tingkat sahaja. Walau bagaimanapun akhirnya ternyata memberikan lebih keselesaan terutama jika dibandingkan dengan rumah setinggan.

Bertambahnya penduduk menjadikan kepadatan di Kuala Lumpur semakin tinggi. Tapak yang digunakan untuk mendirikan kediaman menjadi semakin kurang dan jalan keluarnya adalah mendirikan rumah bertingkat. Selepas Flat Kampung Kerinchi diikuti pula Flat Pudu dan Flat Pekeliling.

Sementara Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mula diwujudkan pada 1970-an. Warga Kuala Lumpur dan Lembah Klang sudah menerima konsep kediaman bertingkat sebagai gaya hidup baharu. Rumah bertingkat menggantikan kediaman yang dibina atas tanah termasuk rumah setinggan adalah jalan keluar daripada masalah tapak yang terhad.

Bayangkan sekiranya semua lantai rumah bertingkat yang ada di Kuala Lumpur ketika ini dihamparkan di atas tanah. Terlalu luas tapak yang perlu digunakan untuk menampung semua lantai yang bertingkat itu.

Bagi mencapai matlamat pendidikan yang berkualiti, infrastruktur yang cekap tetap menjadi keutamaan. Namun disebabkan kekurangan tapak di kawasan bandar untuk didirikan sekolah telah menjadi faktor yang menghalang usaha menambah baik ruang kelas bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengusulkan cadangan supaya didirikan sekolah bertingkat, hal itu bukanlah suatu yang pelik atau mustahil untuk dilakukan. Cadangan sekolah bertingkat itu adalah satu jalan keluar terbaik mengatasi kekurangan tanah untuk didirikan sekolah biasa – paling tinggi empat tingkat.

Malah mendirikan sekolah yang ketinggian biasa dilihat sebagai ‘membazir’ tapak yang sebenarnya dari segi keupayaan boleh ditambah hingga 17 tingkat. Pada saiz tapak yang sama boleh didirikan ruang yang berkali ganda berbanding sekolah biasa.

Cadangan DBKL adalah suatu yang amat realistik untuk menempatkan sekolah di tengah-tengah petempatan masyarakat kota yang berkepadatan tinggi. Sekolah bertingkat diyakini menjadi satu gaya hidup seperti konsep kediaman bertingkat yang kini sudah menjadi satu yang lumrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata cadangan membina sekolah bertingkat itu bagi memenuhi keperluan tanah terhad dan pertambahan penduduk yang pantas. Antara sekolah bertingkat dengan sekolah biasa tidak ada beza kecuali jumlah tingkatnya.

Lanjutan daripada cadangan sekolah bertingkat di Kuala Lumpur itu, Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mengumumkan projek rintis bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang pada tahun ini. Ternyata sekolah bertingkat menjadi kenyataan tidak lama lagi sekali gus diikuti di bandar-bandar padat yang lain.

Projek rintis itu menunjukkan dunia pendidikan kita memasuki fasa baharu selari dengan tuntutan semasa – melepasi kepadatan penduduk dan keluasan tanah yang terhad. Sekolah adalah institusi penting dalam pembangunan masyarakat dan diyakini bergerak pada fasa baharu tanpa berdepan sebarang kekangan.

Dengan pertumbuhan penduduk yang pesat dan keperluan pendidikan yang semakin meningkat, Kuala Lumpur dan bandar besar lainnya berdepan cabaran dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang mencukupi.

Walau apa sekalipun keperluan pendidikan tetap menjadi keutamaan. Sekolah tetap didirikan di petempatan penduduk yang padat untuk memudahkan pelajar dan keluarga. Masalah kekurangan tanah untuk dijadikan tapak diatasi dengan konsep sekolah bertingkat.

Bagi mengatasi cabaran kepadatan pelajar sekolah di kawasan bandar besar, penting sekali untuk menyelaraskan perancangan pembangunan bandar supaya selari dengan keperluan pendidikan. Pertambahan sekolah baharu adalah jawapan pada peningkatan jumlah pelajar di sesebuah kawasan petempatan.

Langkah penyelesaian yang perlu diambil termasuklah merancang tapak bangunan sekolah dimanfaatkan secara bijak untuk memaksimumkan ruang yang ada. Disebabkan hal itu sekolah bertingkat hingga mencapai 17 tingkat misalnya adalah penyelesaian yang bijak.

Dengan keluasan tapak yang sama boleh menampung jumlah pelajar yang berkali-kali ganda banyaknya. Konsep bertingkat itu sudah terbukti dapat menyelesaikan masalah kepadatan penduduk dengan mendirikan kediaman bertingkat – bukan sahaja flat malah yang lebih mewah seperti kondominium.

Statistik menunjukkan terdapat 170 sekolah rendah dan 100 sekolah menengah (termasuk 10 sekolah menengah agama bantuan penuh kerajaan). Pecahan sekolah rendah adalah 120 sekolah kebangsaan, 40 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan 10 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Memang benar tidak semua sekolah di Kuala Lumpur terletak dalam kawasan yang berkepadatan tinggi ketika ini. Biarpun begitu dengan pertambahan perumahan baharu yang berkonsep kediaman bertingkat yang drastik menyumbang kepadatan tinggi dalam masa yang singkat.

Kepadatan pelajar sekolah di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur memberikan kesan yang kurang baik terhadap kualiti pendidikan. Antaranya jumlah pelajar yang terlalu besar dalam kelas yang boleh menjadikan pengajaran dan pembelajaran kurang berkesan.

Salah satu kelebihan sekolah bertingkat adalah mampu menawarkan kelancaran dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan ruang kelas yang lebih luas, setiap pelajar lebih selesa dan mendapat peluang yang sama tanpa terjejas oleh faktor ruang yang sempit.

Penyediaan kemudahan pendidikan tambahan seperti makmal sains, perpustakaan dan tempat riadah juga boleh ditambah disebabkan ruang yang lebih luas sekalipun secara bertingkat.

Maka projek rintis sekolah bertingkat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang itu adalah kena pada masa dan tempatnya. Sekolah bertingkat adalah penyelesaian yang terbaik kerana tidak melibatkan perubahan pada sistem pendidikan sedia ada.

Walaupun projek ini memberikan pelbagai kelebihan, ia juga perlu diurus dengan teliti bagi memastikan hasil yang positif dapat dirasai oleh semua pihak terlibat. Reka bentuk yang mesra alam dan mampan antara perkara yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kejayaan projek sekolah bertingkat itu.

Pada masa yang sama sekolah bertingkat semestinya turut memberi kesan yang baik terhadap pembangunan kawasan bandar. Dengan menyediakan infrastruktur pendidikan yang moden dan cekap, sekolah bertingkat mesti dipastikan tidak menjejaskan keselesaan penduduk berdekatan.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas