Berita

Cadangan letak pakar bukan Islam tidak berasas

MOHD NA'IM
- Diterbit 29 Disember 2023 4:16 PM MYT

CADANGAN berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam (Jawatankuasa Khas) dilihat tidak berasas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dalam perkara-perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang melibatkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri.

“Oleh yang demikian, semua pihak adalah diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam.

“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Na’im, Jawatankuasa Khas ditubuhkan bertujuan untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa Khas ini dipengerusikan oleh Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi, mantan Ketua Hakim Negara dan turut dianggotai oleh anggota lain yang terdiri daripada mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, wakli Majlis Agama Islam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

“Kesemua anggota yang dilantik mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelsaikan semua isu yang berbangkit demi memartabatkan serta mmemperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk akan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas