Berita

Cabaran tangani hijrah anak muda

JEFRIDIN (tengah) ketika menyampaikan Bantuan Kasih Johor kepada mereka yang memerlukan di Kukup, Johor
- Diterbit 30 Disember 2024 12:22 PM MYT

KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup di Johor boleh dikatakan dekat dengan pintu masuk ke negara jiran. Justeru masalah utama penghijrahan anak muda untuk bekerja di negara jiran itu menjadi cabaran buat Yang Berhormat (YB) DATUK JEFRIDIN ATAN selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup menanganinya secara baik.

Ia bukan tugas mudah buat beliau kerana penghijrahan itu sudah berlaku seawal 70-an dan kini masanya untuk membina peluang pekerjaan yang setimpal di Kukup melalui pelbagai program dan usaha.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau yakin pembangunan industri di Kukup dapat membangunkan ekonomi di kawasan berkenaan di samping membina ruang kepada anak muda mencipta ekonomi lebih baik.

 

Apa pandangan Datuk terhadap Kukup dalam ruang lingkup ekonomi?

Kukup merupakan sebuah perkampungan berasaskan pertanian, ramai masyarakatnya menjalankan aktiviti pertanian sara hidup dan nelayan. Masa berubah sehingga ada pembangunan industri di kawasan Tanjung Bin (Tanjung Bin Energy Power Plant) dikelolakan Malakoff Corporation Berhad dan ATB Oil Terminal Tanjung Bin. Ia memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi di Kukup. Pembangunan persekitaran kampung yang berhampiran kawasan industri sudah tentu mendapat limpahannya terutama dari segi peluang pekerjaan dan pembangunan jaringan jalan raya. Namun begitu limpahan ini tidak menyeluruh tetapi sebagai pemangkin untuk bergerak lebih pantas setanding dengan industri. Kukup juga mempunyai Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup, sebagai Kawasan Tanah Lembab Sedunia (Ramsar Site) dan Tanah Penghujung Benua Asia, sedikit sebanyak membantu meningkatkan sumber ekonomi masyarakat kampung. Dengan adanya ikon-ikon menarik ini masyarakat mengubah ekonomi daripada bergantung kepada pertanian dan beralih arah ke bidang pelancongan dengan membina restoran, inap desa dan menyediakan aktiviti ekopelancongan. Sebagai pintu masuk negara dengan adanya terminal Kukup telah menerima ramai pelancong dari Indonesia.

Masyarakat terus membangun dan berkembang dari generasi ke generasi sudah tentu golongan muda lebih ramai, sebahagian kecil mereka mewarisi kehidupan tradisional keluarga, sebahagian lagi mendapat pendidikan di luar kampung dan terus bekerja di luar dan ada juga kumpulan anak muda yang tinggal di kampung halaman mereka. Kumpulan ini amat memerlukan pekerjaan dan tempat tinggal. Sebagai wakil rakyat saya sentiasa mengusahakan agar ada kediaman mampu milik yang mereka kehendaki. Begitu juga peluang pekerjaan, banyak usaha yang dibuat bagi memastikan anak muda diberi peluang bekerja di kawasan industri Tanjung Bin. Dengan industri kecil dan sederhana (IKS) ia memberi ruang untuk anak muda berkecimpung dalam ekonomi. Program Sejati MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak memberi peluang ekonomi terutamanya anak-anak muda di Kukup. Menerusi Teras Maju Johor 2030 juga memberi perhatian kepada Orang Muda Johor (OMJ) dalam pelbagai bidang.

 

Bagaimana Datuk melihat penghijrahan ramai anak muda bekerja di negara jiran?

Penghijrahan anak muda bekerja di negara jiran (Singapura) bukanlah perkara baru. Ia berlaku seawal 70-an kerana dari aspek jarak,  tawaran gaji dan pekerjaan menyebabkan mereka memilih bekerja di sana. Tambahan pula dengan pembukaan Jambatan Sungai Pulai pada awal tahun ini telah memendekkan perjalanan dari Kukup ke jambatan kedua Singapura, lebih kurang 30 minit. Mereka ini berulang-alik setiap hari ke Singapura, kesesakan di Tambak Johor setiap pagi merunsingkan Johor dan Singapura. Pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk memberi keselesaan dengan membaiki kualiti pengurusan di Tambak Johor. Dengan adanya perancangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sudah tentu dapat mengawal penghijrahan anak-anak muda ke Singapura, mereka sudah tentu diberi peluang bekerja di kampung mereka sendiri dengan terlaksananya zon ekonomi khas nanti. Kukup antara daerah yang disenaraikan di dalam zon ekonomi khas ini.

 

Apa aspirasi anak muda dalam bidang politik pada pandangan Datuk?

Anak muda mempunyai peluang menggantikan pemimpin sedia ada. Bagi menjamin mereka mempunyai wadah perjuangan yang kita inginkan, mereka perlu dibimbing dan dilatih dengan sempurna. Pada masa ini banyak rangkaian disediakan untuk memberi pendedahan awal kepada mereka. Ini termasuk Perintis Parlimen Belia dan Dewan Muda Johor untuk menyediakan pemimpin masa depan berkualiti. Anak muda ini perlu dibekalkan dengan pengalaman dan ilmu sebelum melangkah ke dunia sebenar. Sebagai contoh Johor telah memberi peluang calon-calon pilihan raya yang lepas majoritinya adalah bawah 40 tahun, mereka ini masih muda dan bertenaga dari segi idea dan usaha.

 

Dalam DUN Kukup, apa masalah utama perlu Datuk selesaikan sewajarnya?

Saya meletakan tagline #KitaJagaKukup supaya masyarakat sama-sama mempunyai tanggungjawab, saya tidak boleh melaksanakan kerja bersendirian tanpa ada rasa tanggungjawab bersama. Kukup adalah milik semua warganya. Sistem pentadbiran di dalam kawasan Kukup perlu diaktifkan seperi pentadbiran daerah, penghulu, ketua kampung, ketua masyarakat dan komuniti. Dengan bantuan semua, masalah rakyat dapat diselesaikan dengan sempurna, walaupun tidak dapat memenuhi keperluan semua orang. Fokus utama saya adalah kebajikan mereka, memastikan tiada rakyat yang terlantar kebuluran tanpa disantuni. Kerajaan Johor banyak membantu masyarakat dari aspek bakul makanan, dapur kasih yang disampaikan setiap bulan bagi mereka yang terpilih. Kemudahan seperti jaringan jalan raya dan kemudahan awam juga sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

Saya sedang mengusahakan supaya lebih banyak Rumah Mampu Milik dibina di Kukup. Usaha-usaha untuk menambah pendapatan masyarakat juga dirancang dan dilaksanakan terutamanya pengusaha IKS, dari aspek bantuan menggalakkan mereka membesarkan perniagaan. Kukup amat memerlukan sebuah pasar raya supaya membolehkan pengusaha IKS memasarkan produk mereka dan menggalakkan kehadiran pelancong. Kukup juga masih memerlukan kawasan padang permainan untuk anak muda melakukan aktiviti mereka. Saya juga sedang mengusahakan supaya projek-projek sakit dan terbengkalai diselesaikan secepat mungkin.

 

Ramai pihak yang mempolitikkan isu pertukaran cuti Sabtu, Ahad. Bagaimana Datuk melihat isu ini?

Satu ketika dulu Johor pernah bercuti pada Sabtu dan Ahad. Saya tidak melihat ia isu besar kerana kerajaan negeri berpengalaman dalam kedua-dua keadaan. Johor ingin terus membangun dan selari dengan Kerajaan Pusat dan Singapura yang bercuti Sabtu dan Ahad. Banyak perkara positif dapat diselesaikan dengan keadaan cuti yang baru. Insya-Allah lama-kelamaan rakyat Johor dapat menerimanya dengan baik.

 

Setakat ini apakah sudah terlaksana janji-janji sepanjang kempen dalam pilihan raya sebelum ini?

Sepanjang kempen PRN Johor, kerajaan Barisan Nasional (BN) menyenaraikan Ikhtiar BN disifatkan satu naratif yang berupaya menjadi kunci membawa kepada kestabilan ekonomi dan politik di negeri Johor. Ia bersandarkan lima teras utama iaitu kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk OMJ, membudayakan pentadbiran berintegriti dan ikhtiar untuk melaksanakan reformasi politik. Kebanyakan ikhtiar yang digariskan menerusi mekanisme Teras Maju Johor untuk mencapai Johor Maju 2030 kebanyakannya berjaya digerakkan secara berterusan.

Aspek kesejahteraan rakyat terus dijaga dan disantuni. Pejabat DUN sendiri telah menubuhkan Unit Jaringan Amal untuk membantu masyarakat secara berterusan dengan program bakul makanan, katil hospital, kerusi roda dan pelbagai peralatan yang diperlukan oleh pesakit. Aspek ekonomi diberi perhatian dengan menggalakkan pengusaha IKS, membantu perniagaan secara dalam talian dan mengadakan program yang boleh menambah ekonomi masyarakat.

Peluang-peluang baru untuk mencetus ekonomi dijalankan seperti ekopelancongan, pentadbiran DUN juga banyak memberi fokus kepada orang muda, mencungkil bakat anak-anak muda di bidang permainan sukan dan online seperti e-game dan bidang sukan permotoran. Setiap tahun pejabat DUN mengadakan Festival D’kukup yang menyediakan platform anak muda dan peniaga-peniaga IKS. Festival D’Kukup 2.0 telah mendapat pengiktirafan pihak Tourism Johor agar Festival D’Kukup akan dimasukkan dalam jadual pelancongan setiap tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas