Oleh MAIZURA EDERIS
SEPANJANG kerjaya sebagai penulis skrin, saya telah menghasilkan sekitar 15 karya adaptasi novel ke drama bersiri televisyen. Sebahagian besar adalah novel popular manakala sebahagian kecil, novel sastera.
Memang menjadi impian saya untuk mengangkat karya-karya sastera yang serius dan berat ke skrin. Antara yang pernah menjadi kenyataan ialah Kemboja Di Hati, Aci Patmabi, Ayahanda dan Selendang Anum yang ditukar tajuk menjadi Katakan Pada Dia. Kesemua novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Terbaharu, saya mempertaruhkan novel bertajuk Memoir Seorang Guru karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah untuk diangkat ke layar lebar. Projek ini benar-benar menguji kemampuan saya. Selain medium filem yang masih asing buat saya, kandungan novel sarat dengan falsafah kehidupan.
Mujur saya dibantu oleh rakan penulis, Che Li. Kami mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan lakon layar dan ia melibatkan enam draf.
Pada dasarnya, Memoir Seorang Guru menceritakan tentang Cikgu Sunan yang bosan dengan kerjayanya kerana bekerja hanya untuk gaji. Suatu hari, Cikgu Sunan melawan dan ingkar arahan pihak atasan hingga ditukarkan ke sekolah di pedalaman sebagai hukuman. Berlaku beberapa insiden tragis di daerah terpencil yang mengubah pendirian Cikgu Sunan. Daripada bekerja sekadar untuk makan gaji, mula terbit keinginan beliau untuk mendidik anak-anak bangsa yang jauh ketinggalan daripada arus pembangunan negara.
Cabaran utama dalam mengangkat novel karya sasterawan tanah air yang terkenal ini ialah terlalu banyak plot, watak dan insiden yang berlaku. Justeru, kami berhadapan dengan keputusan yang sukar dalam menentukan apa yang hendak diambil dan apa yang perlu dibuang. Sedangkan durasi penceritaan filem hanya dua jam.
Perbezaan medium sentiasa dititikberatkan. Apa yang menarik di atas halaman kertas tidak semestinya jadi cantik di skrin nanti.
Banyak sekali insiden yang sukar digambarkan di atas skrin disebabkan oleh kekangan bajet. Apatah lagi projek ini diterbitkan oleh rumah produksi yang kecil. Sebahagian pembiayaan pula datangnya daripada pihak FINAS dan hanya berjumlah RM500,000.
Setelah siap draf pertama, saya dan Che Li perlu pula membantu pihak produksi dalam pencarian watak kanak-kanak. Terngiang-ngiang di telinga akan pesanan panel FINAS bahawa watak kanak-kanak menjadi faktor utama yang menentukan kejayaan filem ini. Kami bernasib baik kerana pelakon berkaliber, Datuk Rosyam Nor sudi menggalas tanggungjawab sebagai guru kepada kanak-kanak ini.
Setelah itu, bermulalah proses penambahbaikan ke atas skrip setelah perbincangan dengan tenaga kerja demi mendapat hasil yang terbaik di layar kelak. Di sinilah munculnya cabaran kedua iaitu kompromi dan hikmah. Setiap pandangan itu ada baik dan buruknya. Semuanya perlu diperdebatkan. Pada masa yang sama, perlu menjaga keharmonian dalam pasukan.
Bohonglah kalau tidak ada ‘gaduh’ langsung. Gaduh seolah-olah sudah menjadi ‘rukun’ dan ‘syarat sah’ dalam kerja berpasukan. Namun, semuanya dapat ditangani dengan baik.
Kini, Memoir Seorang Guru sedang ditayangkan di 97 pawagam di seluruh negara (kecuali Kelantan dan Perlis). Filem ini untuk menghargai jasa semua guru di seluruh negara. Diarahkan oleh Kyoll Hamzah dan diterbitkan Tanah Merah Ventures dengan kerjasama Kalam Ariff Holding Sdn Bhd, Mache All Star Sdn Bhd dan Yayasan Pembangunan Guru Malaysia. Mad Nor Kassim pula terlibat sebagai pengarah fotografi. Manakala pelakon cilik dibarisi Danish Zamri, Syed Muhammad Baqir, Hafiyal Tamis, Kiky Hannah, Raffque Iskandar dan Dhiyaa Raidah.
Maklum balas penonton sangat positif. Ramai yang ketawa melihat telatah lucu budak kampung tetapi kemudiannya teresak sedih apabila satu demi satu tragedi menimpa mereka.
Apakah tragedi itu? Jawapannya ada di pawagam berdekatan.