PEMINAT badminton tanah air sudah pastinya mahu melihat wakil negara merangkul gelaran Juara Terbuka Malaysia 2024 apabila edisi kali ini bermula esok hingga Ahad di Arena Axiata, di sini namun bagi bekas juara kategori beregu lelaki Tan Boon Heong, tugas itu bukan sesuatu yang mudah.
Boon Heong yang merangkul gelaran itu pada 2007 dan 2010 bersama Koo Kien Keat, mengakui beraksi di hadapan penyokong tempatan memberi cabaran lebih besar kepada pemain negara dalam memburu kejuaraan itu.
Beliau berkata harapan menggunung diletakkan ke atas wakil negara untuk berada di kedudukan podium dengan tanggapan memiliki kelebihan sebagai tuan rumah, sokongan padu penyokong dan pemain sudah biasa dengan persekitaran juga sebenarnya memberikan tekanan lebih tinggi kepada pemain.
“Bukan senang nak menang Terbuka Malaysia, cuma Datuk Lee Chong Wei yang menang banyak kali…pemain harus fokus setiap mata, setiap perlawanan. Saya pernah alaminya bila kita nak kalah, banyak penyokong di belakang marah, suruh kita balik dan sebagainya, ini adalah satu tekanan.
Walaupun bukan semua (penyokong), tapi segelintir penyokong akan bertindak begitu. Kita tak boleh kawal semua peminat, jadi kena fokus pada aksi sendiri.
“Namun, ia bukan alasan, pemain harus berupaya untuk hadapi tekanan. Pada masa sama, saya juga harap penyokong pun boleh faham situasi bahawa pemain juga bekerja keras untuk menang, tetapi bukan semua boleh muncul juara, hanya satu juara sahaja,” katanya ketika ditemui di Arena Axiata di sini, hari ini.
Boon Heong berkongsi bahawa ketika beliau merangkul gelaran itu, beliau masih pemain muda yang tidak gerun dengan sebarang tekanan dalam usaha membuktikan kemampuannya.
“Saya bermula daripada pusingan kelayakan masa itu, baru 19 tahun dan tidak gentar menghadapi mana-mana pemain tetapi selepas ranking dunia meningkat, kemudian semua penyokong harapkan kita menang dan mula hadapi tekanan,” katanya yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2006.
Ditanya mengenai pilihan juara, Boon Heong berkata saingan pada masa ini terbuka dengan pemain di ranking teratas dunia dan pilihan kejohanan juga boleh dikejutkan oleh lawan mereka yang berada pada ranking di bawah.
Bagi saingan beregu lelaki, Juara 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku pilihan ketiga akan bertemu Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark, manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berdepan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand.
Gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bakal mencabar Lu Ching Yap-Yang Po Han dari Taiwan, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun menghadapi cabaran getir menentang pilihan pertama Lian Wei Keng-Wang Chang dari China.
Bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Chong Wei merupakan pemain paling berjaya dalam kejohanan itu apabila merangkul 12 gelaran pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014, 2016 dan 2018, yang juga kali terakhir pemain tempatan muncul juara. – BERNAMA