PEMBANGUNAN bandar raya masa kini menghadapi cabaran paling ketara terhadap identiti budaya berikutan perluasan kawasan yang tidak terkawal yang menjadi ciri sebahagian besar terhadap pembangunan kota moden, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif turut menjelaskan bahawa ciri berkenaan telah menyebabkan kawasan bandar membosankan dan berlaku polarisasi masyarakat yang ketara.
“Ia turut menyebabkan pembaziran sumber dan mengganggu ekosistem sekali gus menggantikan karakter unik kawasan kejiranan yang ruang generik dan homogen,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di dalam Forum Antarabangsa UIA2024KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Katanya, semua pihak mesti membayangkan bandar raya yang berdaya tahan, infrastruktur yang menyokong keterangkuman dan ketersambungan di setiap peringkat untuk mengekalkan identiti budaya.
“Model seperti ‘Bandar 15 minit’ di mana perkhidmatan penting berada dalam jarak berjalan kaki yang singkat atau berbasikal dan kami menawarkan pelan tindakan bukan sahaja untuk kebolehdiaman dan kemampanan tetapi juga untuk mengekalkan komuniti dan identiti unik yang utuh,” katanya.
Jelas Maimunah, melalui perancangan sebegini, semua pihak boleh mewujudkan bandar yang menyokong perpaduan sosial, kesihatan awam dan kebolehcapaian sambil membenarkan kejiranan untuk mengekalkan identiti budaya mereka yang unik.
“Sambil kita berusaha untuk membayangkan semula bandar, keterangkuman mesti menjadi teras wawasan kita. Kemampanan bandar yang sebenar bermakna tiada siapa yang ketinggalan dan bandar harus mencerminkan keperluan dan aspirasi semua rakyat.
“Saya telah melihat secara langsung bagaimana pemeliharaan daerah warisan boleh memperkaya keterangkuman. Kawasan yang penuh dengan sejarah dan budaya kepentingan boleh menjadi ruang yang mengalu-alukan semua dan menawarkan sambungan kepada masa lalu yang memperkayakan masa kini,” katanya. – WILAYAHKU