Fokus

Buli siber: Wujud undang-undang khusus

- Diterbit 19 Julai 2024 10:50 AM MYT

Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR

PERKEMBANGAN dan kecanggihan teknologi tidak menjamin kematangan dan kewarasan pemikiran masyarakat. Sebaliknya semakin canggih teknologi, nilai baik dalam diri seperti saling menghormati dan sopan santun semakin pudar. Hal ini boleh dilihat dalam kalangan sesetengah masyarakat di Malaysia apabila mereka bertindak menghina individu lain di alam maya.

Berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2020, Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia bagi kes buli siber selepas India. Setahun sebelum itu UNICEF turut melaporkan tiga daripada 10 remaja Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber yang dilakukan menerusi media sosial.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Cyber Security Malaysia (CSM), kes jenayah siber meningkat setiap tahun. Terbaharu, media melaporkan pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha, 30, ditemukan meninggal dunia di sebuah kondominium di Setapak dipercayai menjadi mangsa buli siber.

Menurut Peguam Syarie, Mohd Yazid Sa’at, terdapat beberapa faktor dan punca berlakunya kes buli siber dalam kalangan masyarakat.

“Penggunaan media sosial secara meluas menjadikan ia platform menggalakkan perbuatan buli siber. Antara punca adalah bermulanya daripada ketidakpuasan hati seseorang terhadap individu tertentu sama ada atas sebab perilaku, kemewahan dan penampilan. Penggunaan teknologi yang tiada batas menjadikan pembuli siber lebih berani dalam mendera mental mangsa dengan menggunakan kata-kata negatif bagi tujuan menyakitkan hati mangsa lalu memberi penderaan emosi.

“Buli siber ini mudah dilakukan kerana mereka hanya perlu menaip kata-kata yang tidak sepatutnya seperti perkataan hinaan, lucah dan berbaur ugutan kepada mangsa supaya dapat menyeksa mental mangsa.

“Selain itu, didikan serta pengetahuan agama dalam diri menjadi punca berlakunya buli siber, sebagai contoh menghina orang dengan perkataan yang tidak sepatutnya, menyiarkan gambar dan membuka aib seseorang,” ujarnya.

Mohd Yazid berkata terdapat beberapa tuntutan yang boleh dibuat oleh mangsa buli siber iaitu tuntutan fitnah, tuntutan pampasan untuk tekanan emosi (Intentional Infliction of Emotional Distress) serta tuntutan pelanggaran privasi.

“Mangsa boleh memfailkan tuntutan fitnah jika kenyataan atau maklumat yang disebarkan oleh pembuli siber adalah palsu dan merosakkan reputasi. Pampasan yang boleh dituntut termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. Jika mangsa mengalami tekanan emosi atau trauma, mereka boleh menuntut ganti rugi untuk tekanan emosi. Namun jika buli siber melibatkan pencerobohan privasi seperti penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran, mangsa boleh menuntut ganti rugi untuk pelanggaran privasi,” ujarnya.

Beliau berkata terdapat beberapa langkah yang perlu diambil untuk melindungi diri dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pembuli siber.

“Mangsa perlu menyimpan semua bukti termasuk tangkapan skrin mesej, e-mel, ulasan media sosial dan sebarang komunikasi yang berkaitan. Bukti ini penting untuk membuat laporan polis dan tuntutan di mahkamah. Seterusnya, elakkan bertindak balas terhadap pembuli kerana boleh memburukkan keadaan atau memberi pembuli lebih banyak bahan.

“Gunakan fungsi laporan yang disediakan oleh platform media sosial untuk melaporkan kandungan atau akaun yang menyinggung perasaan. Kebanyakan platform mempunyai dasar menentang buli dan penyalahgunaan,” ujarnya.

Mohd Yazid berkata Malaysia belum mempunyai undang-undang yang spesifik berkenaan buli siber dan satu tafsiran jelas berkaitan buli siber diperlukan kerana ketika ini ia boleh terjadi dalam pelbagai sudut.

“Walaupun tiada undang-undang khas, kesalahan buli siber boleh diambil tindakan di bawah akta-akta yang bersesuaian. Ketika ini kesalahan buli siber boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

“Saya berpandangan bahawa hukuman tersebut tidak setimpal kerana kesannya yang berpanjangan dan memudaratkan mental serta reputasi mangsa. Hukuman yang wajar adalah yang bersifat mendidik dan pengajaran kepada masyarakat.

“Pihak kerajaan perlu membuat pindaan ke atas hukuman sedia ada sekiranya pembuli siber mendatangkan kecederaan mental yang teruk kepada mangsa. Hukuman perlulah dilihat sebagai adil dan saksama,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd Yazid memaklumkan pembuli siber boleh dirujuk di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

“Bagi Seksyen 506, terdapat beberapa bahagian, sekiranya intimidasi itu berupa ugutan untuk menyebabkan kematian (bunuh) atau kesakitan atau kemusnahan harta benda melalui api (kebakaran), hukuman penjara boleh sehingga tujuh tahun.

“Kes-kes ini mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera. Kita harus memastikan bahawa undang-undang digubal untuk mengelak daripada berlakunya sebarang penyalahgunaan dan sekiranya berlaku, tindakan pantas harus diambil,” tegasnya.

Dalam pada itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo mencadangkan undang-undang baharu bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaan termasuk buli siber ketika mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

CEGAH DARIPADA MEMBARAH

PLATFORM media sosial sewajarnya meningkatkan proses penyederhanaan kandungannya dan meneroka alat dipacu kecerdasan buatan (AI) yang mengesan kandungan berbahaya yang berpotensi menghentikan buli siber sebelum parah.

Mohd Yazid berkata pendekatan ini harus merangkumi algoritma lebih canggih yang dapat mengenal pasti dan menandakan bahasa kasar, gangguan dan tingkah laku berbahaya lain dengan tepat tanpa menjejaskan kebebasan wacana yang sah.

“Literasi digital dan kesedaran dalam kalangan pengguna penting. Semua pihak perlu mengambil bahagian dalam kempen pendidikan yang mengajar pengguna mengenai tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab, impak buli siber, kepentingan empati dan hormat dalam interaksi digital.

“Dengan kerjasama ini, kita dapat membangunkan strategi menyeluruh untuk menangani punca buli siber, menyediakan sokongan kepada mangsa dan memudahkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat,” ujarnya.

Beliau berkata semua pihak perlu berganding bahu mewujudkan kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya buli siber terutama di media sosial dan aplikasi sembang seperti WhatsApp dan Telegram bagi mencegah amalan tersebut.

“Mangsa perlu berani tampil membuat laporan polis, mengambil gambar tangkap layar perbualan pembuli, menyekat pembuli untuk akses akaun media sosial atau aplikasi sembang,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas