Berita

Bulan Ramadan angkat dimensi sosial – PM

- Diterbit 2 Mac 2025 1:39 PM MYT

BULAN Ramadan ini penting dalam mengangkat dimensi sosial dan kemanusiaan dalam memupuk rasa prihatin kepada masyarakat yang kurang bernasib baik, ” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujar beliau, sewaktu kita mempunyai kesempatan beribadah, terdapat mereka yang masih berlindung di bawah runtuhan batu dan terus menjadi mangsa peluru tidak bermata.

“Sementalahan, falsafah tertinggi Ramadan menuntut setiap jiwa kaum Muslimin untuk melihat melampaui zahir serta menyelami ruh dan batin.

“Puasa tidak sekadar menahan nafsu lapar dan dahaga tetapi apa yang utama adalah menunduk keangkuhan, menyanggah kezaliman dan penindasan serta meredam ketamakan.

“Ia adalah latihan ketundukan, tidak hanya kepada syariat Allah SWT tetapi kepada hakikat bahawa kita makhluk yang lemah dan Tuhan itu Maha Segala,” ujar beliau di Facebook.

Beliau turut menyeru semua umat Islam untuk bersama menyucikan hati dari kebencian dan membersihkan akal agar terbentuk insan yang lebih adil, lebih kuat ihsannya, lebih dekat kepada Tuhan serta sesama insan.

“Jangan lupa untuk jauhi pembaziran dan berusaha untuk kembali kepada Allah SWT serta mohon keampunan-Nya dalam setiap sujud agar kita semua beroleh berkah dan kesejahteraan.

“Saya mendoakan kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar diberikan kekuatan amal dan keyakinan taqwa dalam menghayati ibadah di bulan Ramadan al-Mubarak kali ini.

“Ramadan adalah madrasah tarbiah ruhiyah di mana setiap insan dididik, diuji dan dimurnikan selain menjadi tonggak penting dalam membina serta membentuk kekuatan dalaman umat.

“Di saat dunia dirempuh kegelisahan materialisme dan kehampaan spiritual, cahaya Ramadan hadir sebagai penyuluh yang menerangi hati dan akal,” ujar beliau.

Tambahnya, perjalanan kerohanian dalam Ramadan ini antara lain sebagai memaknai erti iman, taqwa dan pengharapan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Daripada Abu Hurairah Rahiallahu Anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda,“Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan, dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampun segala dosanya yang lalu”. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas