BERKHIDMAT selama 21 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menjawat jawatan terakhir sebagai Asisten Superintendan (ASP), kini beliau memilih untuk menabur bakti kepada masyarakat sepenuh masa.
Berbicara lanjut tentang figura ini, ASP Bersara, Rahmat Fitri Abdullah sentiasa bersemangat untuk membantu rakyat Malaysia melindungi harta benda dan wang yang terdedah dengan penipuan/scam.
Berpengalaman luas dalam bidang penyiasatan dan operasi kes jenayah komersil serta jenayah kekerasan, beliau memilih untuk meneruskan kerjaya dalam bidang konsultansi dengan menubuhkan Rahmat Fitri Consultant Sdn Bhd.
Kepada Wartawan Kanan Wilayahku, AINI MAWAWI, ASP Bersara Rahmat yang menjadi tetamu Padu Podcast berkongsi lanjut berkenaan isu scam termasuk penjualan produk anti scam.
Boleh ceritakan sedikit tentang latar belakang tuan ketika berkhidmat dalam PDRM?
Dilantik pada 1 November 2003, saya menjadi sebahagian daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSIK) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM.
Kepakaran dalam mengenal pasti serta membongkar aktiviti sindiket scam membawa kepada pelantikan saya sebagai duta Anti-Scam PDRM pada 13 September 2022.
Kenapa tuan memilih untuk bersara awal?
Saya bersara awal untuk memberi fokus membantu masyarakat di luar sana di samping mahu menggunakan kepakaran yang ada mengenal pasti segala penipuan dan mengesan aktiviti scam dalam talian (online) yang semakin berleluasa di Malaysia sekarang ini.
Diktiraf sebagai HRD Corp TTT Certified Trainer, apakah antara skop ilmu yang sering dikongsikan kepada masyarakat?
Pelbagai ilmu dan tip yang dikongsi antaranya persediaan serta pengurusan kewangan yang bijak dan tip dalam mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scammer).
Apakah antara aktiviti yang dijalankan oleh Rahmat Fitri Consultant Sdn Bhd?
Antara aktivitinya adalah perkhidmatan dalam memberikan latihan, nasihat, tunjuk ajar di seminar, kursus, latihan, program ceramah, temu bual dan lain-lain melibatkan hal pengurusan kewangan, fraud, siasatan, apa-apa yang melibatkan isu penipuan/scam termasuk penjualan produk anti scam.
Apabila seseorang itu terkena scam, mereka baru tersedar dan panik, jadi apakah yang perlu dilakukan?
Bila terkena scam dalam tempoh 24 jam, ketahuilah anda sudah pun termasukkan duit ke dalam keldai akaun yang digunakan oleh scammer itu.
Langkah pertama yang perlu dilakukan hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk memaklumkan dan melaporkannya.
NSRC akan sekat akaun tersebut supaya duit yang telah disalurkan tidak dapat dipindahkan atau dihantar ke akaun-akaun lain. Ia juga bagi memastikan scammer tersebut tidak bermaharajalela dengan menikmati duit hasil penipuan tersebut.
Boleh tuan terangkan dengan lebih lanjut berkenaan NSRC?
NSRC adalah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan PDRM bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta ahli jawatankuasa yang terlibat untuk masyarakat di luar sana. Terdapat pasukan khas untuk membantu pengguna setiap kali tersedar telah tertipu dalam tempoh 24 jam. Mangsa harus menghubungi NSRC agar wang yang telah dimasukkan ke dalam keldai akaun berjaya disekat daripada bergerak ke akaun-akaun lain bagi menghalang ia dapat dimiliki atau dinikmati oleh scammer.
Banyak kes penyelewengan yang melibatkan golongan pempengaruh media sosial dan sebagainya, kenapa ia sering kali terjadi?
Ini berlaku sebab banyak pihak yang ambil kesempatan dan perkara ini dibimbangi akan menjadi satu budaya terutamanya yang minta sumbangan derma dengan menggunakan elemen agama, anak yatim dan sebagainya.
Bagi pendapat saya, biasanya kalau melibatkan pelaburan salah ini masyarakat akan mudah sangat untuk percaya dan taksub kerana kebiasaannya ia berkait dengan program agama, umrah dan sebagainya. Ketahuilah niat tidak menghalalkan cara, itu bukan budaya yang boleh diamalkan.
Boleh tuan kongsikan kes scam sebagai iktibar mereka di luar sana?
Ada satu kes di mana individu itu pernah diviralkan oleh stesen televisyen tentang kesusahan hidup dia dengan disertakan nombor akaun untuk sesiapa sahaja membantu menyalurkan sumbangan derma. Sebenarnya dia bukanlah susah tetapi ketika itu suami dia sakit.
Tetapi yang tidak enaknya, perkara tersebut menjadi amalan. Setiap bulan dia akan memuat naik kisah dan gambar di media sosial untuk meraih bantuan. Bayangkan dalam akaun dia ada RM500,000.
Saya tengok sendiri betapa pemurahnya rakyat Malaysia. Cara scammer ini berfikir lain, misalnya rakyat Malaysia ada 34 juta orang, cukuplah sasaran mereka 500,000 orang sahaja yang pemurah, jika seorang derma RM10, berapa dah mereka dapat?
Kenapa sukar untuk membanteras sindiket scam ini?
Saya pernah tangkap satu sindiket derma dan saya dapat senarai nama dan nombor telefon penderma. Jadi, saya telefon dan terangkan mereka tertipu dalam menyalurkan derma. Dalam masa sama, saya minta mereka datang bantu bagi keterangan untuk kita siasat lebih lanjut.
Rata-rata penderma ini jawab, tak apalah mereka sudah sedekah dan itu hal antara scammer tadi dengan tuhan. Jadi, mereka tak nak datang bagi keterangan. Itulah antara sebab kenapa sukar nak banteras sindiket derma ini.
Bagaimana cara untuk pastikan seseorang itu layak diberi sumbangan?
Sangat mudah. Jika kita lihat mereka itu sihat tubuh badan, kenapa perlu bagi sumbangan? Dalam isu ini ramai yang suka ambil kesempatan. Misalnya di kaki-kaki lima bank, kita nampak ada tin atas kerusi untuk derma, orang tak ada, jadi kenapa ada benda itu di situ. Kalau terus dibiarkan, kita yang menggalakkan budaya ini terus berlaku.
Tuan, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang pemurah, jadi bagaimana untuk mengelakkan tertipu?
Jangan terlalu mudah untuk mempercayai iklan derma di media sosial, WhatsApp dan sebagainya. Sebagai seorang yang bijak, tak perlu untuk melayan jika tidak tahu kesahihannya.
Sebab itu saya nak bagitahu semua di luar sana, berbalik kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam memberi sumbangan. Nak minta sumbangan ada prosedur tertentu antaranya hendaklah dibuat di daerah berkenaan, tujuan serta perlu ada permit. Misalnya jika ada melibatkan pembinaan masjid, tahfiz perlu ada permit dari Jabatan Agama. Audit juga perlu dikemukakan. Tapi pegangan orang kita, tak apalah niat sedekah, yang lain urusan dia dengan tuhan.
Jadi, sesiapa sahaja jika ingin menderma atau sebagainya perlulah semak tanya terlebih dahulu, misalnya mesej minta derma untuk pembinaan tahfiz, adakah pusat tersebut wujud dan lain-lain.
Sebab itu, bila ada yang tidak tahu saluran derma yang betul, maka seeloknya dermalah kepada agensi yang kita tahu kesahihannya misalnya Lembaga Zakat dan sebagainya. Itu lebih terjamin. Berbalik juga kepada ajaran agama iaitu membantu orang susah di sekeliling yang kita nampak contohnya ahli keluarga, jiran terdekat dan sebagainya. – WILAYAHKU