Berita

BUDI MADANI bukti kerajaan prihatin terhadap petani kecil

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 13 Jun 2024 9:43 AM MYT

BANTUAN RM200 sebulan menerusi inisiatif BUDI MADANI membuktikan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim prihatin terhadap golongan petani kecil.

Bagi petani tanaman cili, Mohd Fauzi Mohamad Sedek, 50, bantuan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos operasi khususnya melibatkan penggunaan bahan api.

“Kita sedia maklum menjalankan aktiviti pertanian walaupun kecil-kecilan tetapi ia memerlukan kos operasi yang bukan sedikit seperti baja, kawalan serangga dan lain-lain.

“Jadi dengan bantuan bulanan RM200 ini dapatlah mengurangkan kos operasi. Walaupun jumlahnya tidak besar tetapi sedikit sebanyak menambah semangat kami untuk meneruskan khidmat berbudi pada tanah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun Mohd Fauzi yang mengusahakan tanaman cili di Batu Pahat sejak 2021 berharap agensi kerajaan yang terlibat dengan inisiatif BUDI MADANI dapat turun padang dan bertemu dengan petani-petani kecil seperti dirinya.

“Harapan saya golongan petani kecil yang layak menerima bantuan ini mendapat pendedahan lengkap dan juga panduan untuk membuat permohonan,” katanya yang mengusahakan tanaman cili sebanyak 4,000 pokok di tanah tanah seluas 1.31 hektar.

Petani tanaman nanas, Roslee Ismail, 53, berharap proses permohonan bantuan BUDI MADANI dapat dipermudahkan bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

“Jabatan Pertanian setiap negeri pastinya mempunyai data maklumat peribadi setiap petani. Jadi lebih mudah jika bantuan ini disalurkan menerusi agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan mana-mana petani yang layak tercicir.

“Usaha ini boleh dibuat bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat daerah dan zon-zon yang terdapat di seluruh negara,” kata bekas jurutera yang mula mengusahakan tanaman kontan itu sejak 2006 di Kampung Lepau, Pengerang, Kota Tinggi.

Sementara itu, bagi petani tanaman sayur-sayuran, Hairin Adam, 53, berharap kaunter fizikal dapat dibuka bagi memudahkan permohonan BUDI MADANI khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya kurang arif menggunakan peralatan teknologi seperti komputer atau telefon bimbit. Jadi, saya harap kaunter fizikal berserta bimbingan seorang pegawai dapat memudahkan orang seperti saya membuat permohonan,” katanya yang mengusahakan pelbagai jenis sayuran di Felda Nitar 2, Mersing.

BUDI MADANI merupakan wadah kerajaan bagi memastikan peruntukan subsidi RM200 tunai bulanan disasarkan kepada golongan layak seperti pemilik kenderaan diesel individu, petani dan pekebun kecil susulan pelarasan semula subsidi bahan api itu bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi rakyat.

Pendaftaran BUDI MADANI di laman sesawang https://budimadani.gov.my dibuka bermula 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.

Bermula 10 Jun lepas, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 per liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas