Berita

Buat tuntutan palsu elaun latihan kem, dua anggota pasukan keselamatan direman

- Diterbit 22 Januari 2025 11:05 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua anggota lain-lain pangkat pasukan keselamatan yang juga bertugas sebagai jurulatih disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh tuntutan Elaun Latihan berjumlah kira-kira RM26,000.

Perintah reman selama enam hari bermula 21 sehingga 26 Januari dikeluarkan Majistret Nabilah Nizam selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 1, Melaka pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30 dan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5.30 petang, Isnin lalu, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2023 serta menerima wang rasuah secara tunai dan melalui transaksi pindahan ke akaun bank.

“Kedua-dua suspek juga disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi memperoleh tuntutan Elaun Latihan Kem Tahunan beberapa anggota sedangkan anggota-anggota tersebut tidak hadir latihan tersebut,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas