CADANGAN mewajibkan ujian saringan air kencing terhadap penonton yang menghadiri sesebuah konsert dilihat tidak bersesuaian dan mampu memberi kesan jangka panjang kepada industri hiburan negara.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata langkah sewajarnya adalah melakukan ujian secara random terhadap mereka yang disyaki mengambil bahan terlarang semasa konsert.
“Kalau semuanya kena diperiksa, memang tak akan ada konsertlah jawabnya, atau orang tak akan datang untuk menonton konsert.

“Kita bila beri cadangan, biar lebih adil atau lebih logik. Bukan kita kata tak bagus (cadangan ujian saringan), cuma kalau terlalu ketat sampaikan polisi dan dasar dilaksanakan terlalu tegas, nanti banyak peluang penganjuran konsert terlepas begitu sahaja.
“Buat (undang-undang) biar lebih fleksibel dan penguat kuasa boleh datang, buat pemeriksaan secara random, bukannya libatkan semua penonton,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau memberi maklum balas terhadap cadangan pelbagai pihak supaya kerajaan menguatkuasakan arahan ujian saringan air kencing kepada penonton konsert.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata sebagai bekas Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Dang Wangi, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, pemeriksaan secara random adalah satu bentuk psikologi kepada mereka yang mengambil barang terlarang.
“Kalau nak buat ujian kepada semua, mungkin ramai yang tak akan datang menonton konsert.
“Kalau buat secara random, penonton tak akan tahu bila penguat kuasa nak datang, itu lagi menakutkan. Secara psikologinya, orang tak akan ambil bahan terlarang semasa konsert.
“Jika sesebuah konsert itu dihadiri berpuluh-puluh ribu penonton, berapa lama masa hendak ambil untuk membuat pemeriksaan?” Soalnya.
Beliau kemudiannya memetik agenda AADK sebelum ini mengenai isu penagihan dadah.
“Penagih itu macam kencing manis. Kalau nak suruh sihat, ia makan masa tetapi benda itu (penagihan) tetap ada, jadi dapat kurangkan, itu agenda sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan secara random adalah lebih praktikal kerana agensi terlibat tahu ‘bahasa badan’ dan gaya mereka yang mengambil bahan terlarang.
“Sebelum ini kita ada buat kajian antara SENIMAN, AADK dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan selebriti, kajian kes melibatkan muzik, filem dan drama.
“Jadi dari situ kita tahu bahasa yang digunakan mereka yang terlibat dengan dadah. Berbalik kepada cadangan saringan ujian air kencing semasa konsert, buat secara random kerana penguat kuasa tahu lenggok mereka yang mengambilnya (dadah) berbanding nak uji semua penonton,” tegasnya. – WILAYAHKU