Berita

Buat 26 transaksi untuk keuntungan lumayan, pengarah syarikat swasta rugi lebih RM2 juta

- Diterbit 5 Februari 2025 10:43 AM MYT

SEORANG pengarah syarikat swasta mengalami kerugian lebih RM2 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang diiklankan di Facebook oleh syarikat Digzax Exchanger.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa yang berusia 77 tahun telah melihat iklan itu pada Ogos tahun lalu.

Mangsa katanya, tertarik dengan tawaran pada iklan tersebut dan berhubung dengan suspek melalui WhatsApp untuk menyertai pelaburan berkenaan.

“Mangsa seterusnya mendaftar di laman web Digzax melalui pautan yang diberikan.

“Dia telah membuat 26 transaksi ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM2,118,810 kerana dijanjikan keuntungan lumayan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hussein berkata, selepas pindahan wang dilakukan, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan telah diminta oleh suspek untuk membayar cukai berjumlah RM1.2 juta.

Ini katanya, bagi mengeluarkan keuntungan daripada platform tersebut.

“Oleh itu mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan polis. Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menerima laporan di daerah Kajang berkaitan kes penipuan itu.

“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelasnya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan memperdaya mangsa melalui iklan pelaburan di media sosial.

Pihak polis katanya, memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas