SEMPENA Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur 5 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan warga kota melalui program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sesungguhnya ini adalah ‘buah tangan’ yang sangat berharga bagi warga Kuala Lumpur. Melalui Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL), kualiti hidup rakyat dipertingkat, kaedah penyampaian dalam talian pula akan lebih pantas.
Secara umum, inisiatif yang bakal dilaksana termasuk menyediakan perumahan untuk disewa oleh warga kota, memperbaiki lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).
Bagi menjamin keselamatan warga kota, pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan. Kemudahan rekreasi dan riadah untuk rakyat juga dipertingkat.
Peluang berniaga pula diperluas supaya lebih ramai menceburi perniagaan dengan kaedah pemberian lesen dipermudah.
Adi pasti warga kota menyambut baik pelbagai inisiatif yang bertujuan mensejahterakan kehidupan mereka dalam suasana bandar raya yang semakin mencabar. Ia akan dapat membantu mereka menempuh kehidupan seharian dalam suasana damai dan selesa.
Semua ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap warga kota. Kehidupan mereka sentiasa dipantau dan dibela, daripada golongan B40, M40, malah sehingga kepada gelandangan, tanpa mengira bangsa dan agama atau fahaman politik.
Jelas sekali setelah lima dekad diisytihar bandar raya pada 1 Februari 1972, dan 48 tahun sebagai WP Kuala Lumpur setelah diisytihar pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu negara dan pusat ekonomi.
Fungsinya sebagai pusat pentadbiran berakhir pada 1999 apabila Putrajaya secara rasmi menjadi Pusat Pentadbiran Persekutuan demi mengurangkan kesesakan dan kepadatan ibu kota.
Dengan peredaran masa dan pertumbuhan ekonomi pesat, Adi dapat menyaksikan kemajuan rancak ibu negara. Jumlah warganya kian bertambah kerana ramai dari luar datang mencari rezeki. Kehidupan di ibu kota juga makin mencabar.
Tentu sukar bagi warga Kuala Lumpur menjalani kehidupan tanpa pemantauan dan sikap prihatin pihak berkuasa yang menjaga keperluan dan kebajikan mereka. Apa yang ‘dihadiahkan’ oleh kerajaan sempena 50 tahun bandar raya Kuala Lumpur adalah usaha agar Kuala Lumpur dan warganya terus maju dan makmur.
Dalam usaha kerajaan mahu warga Kuala Lumpur hidup selesa, matlamat utama DBKL ialah menghapuskan miskin tegar. Ibu kota mahu dijadikan bandar raya sifar miskin tegar.
Untuk menyediakan kehidupan selesa, perumahan adalah penting. Setiap orang memerlukan tempat tinggal demi berlindung daripada hujan dan panas. Sehubungan itu DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota. Keluasan minimum rumah 750 kaki persegi.
PPR dan PA yang sudah sedia wujud juga tidak dilupakan. Adi difahamkan, DBKL akan membaiki 306 lif di 31 lokasi PPR dan PA. Projek ini akan dilaksanakan merentas masa dua tahun.
Kerosakan lif, terutama akibat vandalisme oleh segelintir penghuni PPR dan PA, sudah kerap berlaku dan dilaporkan. Ada yang merosakkan butang lif sehingga lif tidak berfungsi. Ada yang sengaja membuang sampah dan kotoran di dalam lif menyebabkan mereka yang menaikinya tidak selesa.
Lif rosak kerap diperbaiki berkali-kali, namun kerosakan dan vandalisme tetap berlaku. Jelas ini perbuatan sangat tidak bertanggunjawab dan disengajakan. Mereka yang berbuat demikian adalah ‘kelompok sakit’ yang sengaja mahu menyusahkan orang ramai.
Oleh itu harapan Adi dan tentunya pihak DBKL, hargailah usaha besar-besaran memperbaiki lif rosak sempena 50 tahun bandar raya Kuala Lumpur ini. Apabila lif sudah diperbaiki, jagalah dengan baik kerana ia adalah harta awam milik bersama. Sayangilah lif di PPR dan PA anda.
Buanglah tabiat suka merosakkan harta awam. Bayangkan jika lif rosak betapa sukar untuk turun naik, apatah lagi jika tinggal di tingkat paling tinggi. Akibatnya siapa yang susah? Tindakan keras mesti diambil terhadap mereka yang terlibat dengan perbuatan tidak bertamadun ini.
Sejajar 50 tahun bandar raya Kuala Lumpur, keselamatan warga kota terus diutamakan dan sama sekali tidak diabaikan. Tahap keselamatan di ibu negara dipertingkat melalui pemantauan menggunakan CCTV, dikawal oleh pusat kawalan ‘Kuala Lumpur Command and Control Centre’.
Adi percaya CCTV ini akan banyak membantu, khususnya pemantauan jalan dan pergerakan lalu lintas di ibu kota. Dengan itu tindakan spesifik boleh segera diambil jika berlaku kesesakan, misalnya menghantar polis trafik mengawal lalu lintas atau mengalirkan kenderaan ke laluan alternatif.
Ia juga boleh membantu pihak berkuasa mengesan kesalahan lalu lintas, malah perbuatan jenayah. Pesalah lalu lintas sukar menafikan kerana gambar mereka terakam.
Bagi perlakuan jenayah, tindakan pantas boleh diambil bagi mengesan penjenayah terbabit. Pusat kawalan boleh segera menyalurkan maklumat untuk membolehkan usaha mengesan penjenayah segera dilakukan.
Untuk warga kota bersantai dan beriadah, DBKL akan menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau. Dalam aspek ini, keselamatan dan keselesaan pengguna sentiasa diutamakan.
Penjaja juga tidak dilupakan. Selain inisiatif berniaga yang telah dilaksanakan seperti Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (IWBB) dan penyediaan kios niaga, gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang akan diperbaiki dan dinaik taraf. Ini termasuk gerai-gerai tepi jalan yang berlesen.
Bagi memastikan perkembangan sektor ekonomi terus rancak, DBKL akan meningkatkan keupayaan penyampian perkhidmatan dalam talian. Langkah ini untuk mempercepat urusan berhubung kait dengan kelulusan lesen.
Bagi Adi langkah ini sangat baik kerana ia akan memudahkan urusan permohonan lesen. Difahamkan dengan kaedah ini, DBKL akan memberi kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam.
Permohonan permit pembinaan pula boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari. Namun ini terhad kepada pembangunan berskala kecil sahaja.
Sebagai galakan kepada warga kota berurusan dalam talian, rebat sebanyak 10 peratus diberi sepanjang tahun ini untuk pembayaran melibatkan semua permohonan lesen. Warga kota perlu mengambil peluang ini. Bukan sahaja urusan dalam talian lebih mudah, ada rebat pula.
Jelas inisiatif yang disediakan oleh kerajaan sempena lima dekad bandar raya Kuala Lumpur sangat bermanfaat. Kemajuan dan kesejahteraan ibu kota serta warganya sentiasa menjadi fokus utama.
Kerana itu Adi amat berharap hargailah segala usaha yang dilakukan. Bersama-samalah memajukan Kuala Lumpur dan bersama-sama menjadikan warga kota sejahtera dan makmur. Sayangi Kuala Lumpur!
Adi — Semoga KL terus maju – WILAYAHKU