SEBAGAI inisiatif inklusif dan berfokus komuniti bagi memperkasa usahawan mikro serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah melancarkan Karnival BSN Mikro MADANI Zon Pantai Timur pada 12 Jun baru-baru ini di Pasar Payang, Kuala Terengganu
Majlis pelancaran telah disempurnakan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Jusman Ibrahim, sebagai simbol sokongan padu pihak berkuasa tempatan terhadap pembangunan keusahawanan mikro di peringkat komuniti.

Menurut, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, karnival itu adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang BSN dalam memperkasa pembangunan ekonomi mikro di Malaysia.
“Sehingga kini, BSN telah menyalurkan lebih RM5 bilion pembiayaan mikro kepada hampir 170,000 usahawan mikro di seluruh negara.
“Ini bukti jelas bahawa kami bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan, tetapi juga membina daya tahan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan sempena karnival itu.
Karnival BSN Mikro MADANI platform sehenti yang menghimpunkan usahawan mikro, agensi kerajaan, institusi kewangan, dan rakan industri untuk berkongsi ilmu, memperluas jaringan serta mempromosi perkhidmatan dan produk tempatan.

Pelbagai perkhidmatan seperti kaunseling kewangan, penstrukturan semula pembiayaan, serta program pembiayaan baharu termasuk Skim Mikro MADANI turut diperkenalkan.
Antara inisiatif utama yang diwar-warkan ketika karnival berlangsung adalah BSN Micro Community, satu ekosistem menyeluruh merangkumi pembiayaan, pembangunan kapasiti, pemasaran dan pendigitalan.
Inisiatif ini telah menyaksikan impak ketara termasuk lebih 4,000 usahawan mikro dinaik taraf menjadi PKS, 14,800 peluang pekerjaan diwujudkan, lebih 13,000 perniagaan mencatat peningkatan jualan dan 1,400 aset perniagaan diperoleh dan dipertingkatkan.
Selain itu, karnival ini turut mengetengahkan padanan perniagaan melalui kerjasama strategik seperti Program Modern Trade Ready bersama AEON Malaysia dan peluang penembusan pasaran digital melalui platform seperti TikTok Shop.
Sempena majlis ini juga, turut berlangsung sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara BSN dan beberapa rakan strategik termasuk MAIDAM, TikTok Shop Malaysia, SME Bank dan AKPK dengan sokongan Jabatan Penjara Malaysia.
Kerjasama ini bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro, memperluas capaian kepada golongan terkesan, serta menyokong agenda kewangan sosial Islam seperti Program iTEKAD.
Karnival ini telah berlangsung dengan jayanya hasil penyertaan beberapa rakan strategik termasuk TikTok Shop, AKPK, SME Bank, MAIDAM serta rakan komuniti yang lain. – WILAYAHKU