Berita

‘Bonne Chance’ atlet paralimpik, misi lengkapkan 10 emas bermula

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama para atlet semasa Majlis Pelepasan Kontinjen Negara ke Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024. - Foto: BERNAMA
- Diterbit 30 Ogos 2024 4:30 PM MYT

KEJAYAAN gemilang kontinjen negara membawa pulang tiga emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016 bukan sahaja melakar sejarah buat Malaysia malah turut membawa dimensi baharu buat dunia sukan para tanah air.

Pencapaian membanggakan di bumi Brazil oleh tiga jaguh olahraga para negara iaitu Datuk Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi ternyata memberi impak besar terhadap perkembangan dunia sukan para.

Kesinambungan kejayaan di Rio 2016 menyaksikan barisan atlet luar biasa ini tidak menoleh ke belakang malah terus mengorak langkah beraksi cemerlang membawa pulang tiga emas dan dua perak di Tokyo 2020 yang merupakan pencapaian terbaik Malaysia di pentas Paralimpik setakat ini.

Obor perjuangan kontinjen negara akan terus dinyalakan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan misi memburu empat lagi emas bagi melengkapkan kutipan 10 emas secara keseluruhan sekali gus memahat satu lagi sejarah baharu sukan negara.

Baru-baru ini, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin meramalkan keajaiban mungkin boleh dijelmakan kem renang para negara yang membariskan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan bagi saingan berlangsung di Paris La Defense Arena.

Biarpun menghantar sebanyak 30 atlet dari lapan jenis sukan yang merupakan jumlah kontinjen paling besar negara dalam sejarah Sukan Paralimpik sejak mula menyertainya, Malaysia perlu menampilkan semangat waja tinggi agar sorakan kejayaan mereka tidak tenggelam di sebalik lebih 4,000 atlet yang mewarnai Paris 2024.

Tumpuan utama di ibu negara Perancis pastinya terarah kepada Abdul Latif yang memburu hatrik emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) selain hasrat memecahkan rekod dunia miliknya sejauh 7.64 meter (m) pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.

Seterusnya, saingan di Paris 2024 akan menjadi medan ‘lepas geram’ buat Muhammad Ziyad untuk merampas emas lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) selepas dinafikan pingat terbabit pada edisi Tokyo 2020 gara-gara lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Namun kejutan mungkin boleh dilakukan permata baharu Muhammad Nazmi Nasri yang bersaing dalam acara lompat jauh T37 (kecacatan fizikal), seandainya dapat mengulangi magis merangkul emas dengan catatan 6.13m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun pada Mei lepas.

Dalam pada itu, kem badminton para negara juga mempertaruhkan dua pemain kerusi roda, Muhammad Ikhwan Ramli (WH1) dan Noor Azwan Noorlan (WH2) serta pemenang perak perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) APG Hangzhou 2022, Mohd Amin Burhanuddin bagi mengintai peluang membawa pulang pingat dari Paris.

Walau apapun terjadi, rakyat Malaysia menanti penuh debaran khabar gembira daripada atlet yang berjuang. Meminjam kata-kata rakyat Perancis, Bonne Chance (Selamat Maju Jaya) kepada barisan atlet luar biasa negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024! – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas