SKIM Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) merupakan kaedah membeli-belah secara dalam talian yang semakin popular dan menjadi alternatif pengguna di seluruh dunia.
Kaedah bayaran balik yang rendah tanpa faedah, syarat pembelian tidak ketat serta tidak terikat kepada agensi perbankan mahupun melibatkan penggunaan kad kredit menyebabkan ramai memilih BNPL sebagai alternatif.
Kini BNPL tidak hanya digunakan untuk membeli barangan di platform e-dagang, sebaliknya kemudahan BNPL ditawarkan secara meluas.
Namun apa yang menjadi persoalan apakah kaedah BNPL ini selamat? Lebih-lebih lagi apabila ia banyak digunakan golongan muda yang baru memulakan kehidupan.
Ikuti temu bual wartawan Wilayahku, SERIMAH SALLEHUDDIN bersama Ketua Pendidikan Kewangan Sektor Isi Rumah, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), S. NIRMALA.

Adakah syarat pembelian BNPL perlu diperketatkan bagi mengelakkan belia terjerumus dalam bebanan hutang dan risiko muflis?
Ya, syarat pembelian BNPL sememangnya perlu diperketatkan. Akses yang terlalu mudah kepada kemudahan kewangan ini telah membuka ruang kepada pengguna muda berbelanja secara impulsif tanpa memahami komitmen sebenar.
Sebagai contoh, laporan media tempatan menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaan BNPL dalam kalangan belia selepas pandemik COVID-19, terutamanya melalui platform e-dagang dan aplikasi mudah alih. Tanpa semakan kredit ketat seperti pinjaman konvensional, ramai belia membuat keputusan kewangan tanpa menilai kemampuan sebenar.
Mungkinkah jumlah ansuran rendah menyebabkan golongan muda ‘terpengaruh’ dan tidak nampak risikonya?
Ini adalah antara faktor utama kenapa BNPL begitu menarik kepada golongan muda. Contohnya, ansuran RM20 sebulan untuk sepasang kasut berjenama kelihatan ringan, tetapi apabila terdapat lima hingga enam komitmen sebegitu pada masa yang sama, jumlahnya boleh membebankan.
Menurut satu kajian oleh Visa pada 2023, empat daripada 10 rakyat Malaysia mengakui mereka tidak menyemak jumlah keseluruhan hutang semasa sebelum menggunakan kemudahan BNPL.
Situasi ini diperburuk apabila pengguna tidak mempunyai pendapatan tetap atau tabungan kecemasan.
Adakah mereka berisiko menjadi muflis? Adakah kes BNPL dirujuk kepada AKPK?
Risiko menjadi muflis tetap wujud, terutama apabila pengguna BNPL gagal membayar komitmen dan terus berhutang dari pelbagai penyedia. Meskipun jumlah hutang individu mungkin kecil, kombinasi beberapa hutang yang tidak terkawal boleh membawa kepada situasi beban kewangan serius.
Buat masa ini AKPK tidak dapat membantu dalam penstrukturan semula BNPL.
Perlukah ada campur tangan kerajaan atau akta khusus untuk kawal BNPL?
Campur tangan kerajaan adalah sangat wajar dan mendesak. Tanpa kawal selia yang ketat, BNPL boleh menjadi satu bentuk hutang tidak terkawal yang berkembang secara senyap.
Di Malaysia, langkah awal sedang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi penubuhan Jabatan Perlakuan Pasaran dan Pengawalseliaan Kelakuan (Consumer and Market Conduct Department) bagi memastikan penyedia kredit bukan bank, termasuk BNPL, beroperasi secara adil dan bertanggungjawab.
Namun, pemantauan yang lebih holistik masih diperlukan memandangkan penggunaan BNPL terus meningkat, khususnya dalam kalangan golongan muda.
AKPK menyokong penuh usaha kerajaan dalam memperkenalkan dasar dan akta perlindungan pengguna yang lebih kukuh.
Kami percaya bahawa kawal selia sahaja tidak mencukupi, ia perlu disokong dengan pendidikan kewangan yang berterusan.
Sebagai agensi yang mendukung literasi kewangan rakyat Malaysia, AKPK juga bersedia berganding bahu membina mekanisme rujukan bersama untuk membantu pengguna BNPL yang berisiko tinggi sebelum mereka terjerumus dalam krisis hutang.
Adakah BNPL ini ada baik buruknya? Atau lebih kepada kehendak berbanding keperluan?
BNPL tidaklah sepenuhnya negatif. Jika digunakan dengan berhemah, ia boleh membantu dalam pengurusan aliran tunai, terutamanya untuk barangan yang benar-benar diperlukan seperti komputer riba untuk pelajar atau peralatan kerja untuk pekerja gig.
Namun realitinya, kebanyakan penggunaan BNPL lebih cenderung kepada pembelian barangan kehendak — gajet terkini, kasut edisi khas, atau barangan kosmetik premium.
Menurut laporan oleh NielsenIQ, lebih 60% pembelian melalui BNPL di Asia Tenggara adalah untuk barangan fesyen dan elektronik, yang biasanya bersifat kehendak, bukan keperluan.
Selain itu, dua pertimbangan penting juga harus diambil kira sebelum memilih BNPL:
i) Purpose (Tujuan) – Adakah pembelian ini untuk tujuan produktif seperti mengembangkan perniagaan atau meningkatkan kemahiran kerja?
ii) Payment Affordability (Kemampuan Membayar) – Adakah saya benar-benar mampu membuat bayaran semula tanpa menjejaskan komitmen lain?
Melalui pendekatan praktikal seperti simulasi bajet dan senarai semak perbelanjaan, pengguna diajar untuk membuat keputusan yang lebih bijak, rasional, dan seimbang demi kesejahteraan kewangan yang mampan..
Perlukah ada kempen kesedaran risiko BNPL terutamanya kepada pelajar universiti?
Sangat penting. Pelajar universiti adalah antara pengguna utama teknologi digital dan paling mudah terpengaruh dengan iklan BNPL di media sosial.
Mereka belum mempunyai pendapatan tetap tetapi sudah didedahkan dengan penggunaan kredit, termasuk BNPL.
AKPK telah melaksanakan program seperti ‘Kembara Bijak Wang’ dan ‘Go Giggers’ yang menyasarkan belia dan pelajar IPT untuk mendidik mereka mengenai bahaya hutang, termasuk penggunaan BNPL yang tidak terkawal.
Program-program ini menggunakan pendekatan gamifikasi, podcast interaktif dan simulasi bajet untuk menarik minat golongan muda dalam memahami literasi kewangan dengan cara yang lebih mesra.
Adakah BNPL boleh membawa keburukan kepada negara?
Ya. Apabila penggunaan BNPL tidak dikawal, ia boleh membawa kepada peningkatan hutang isi rumah dan menjejaskan kestabilan kewangan rakyat. Jika terlalu ramai individu terperangkap dalam hutang kecil-kecilan tetapi banyak (fragmented debt), kesan makroekonomi jangka panjang boleh menjadi serius—pengurangan simpanan nasional, penurunan kuasa beli, dan peningkatan permintaan terhadap bantuan kebajikan.
Contoh ketara ialah peningkatan kes kebankrapan dalam kalangan belia di Malaysia yang dicatatkan selepas 2018. Walaupun bukan semua berpunca daripada BNPL, trend penggunaan kredit tanpa perancangan jelas semakin meningkat.
Barang jenis bagaimana yang wajar dibeli melalui BNPL?
BNPL sebaiknya digunakan untuk pembelian yang benar-benar perlu dan memberikan nilai tambah dalam kehidupan atau kerjaya seseorang. Sebagai contoh, seorang pelajar universiti mungkin boleh mempertimbangkan BNPL untuk membeli komputer riba yang diperlukan untuk pembelajaran, atau seorang pekerja gig untuk membeli peralatan berkaitan kerja.
Namun, pembelian seperti telefon pintar terbaru setiap tahun, pakaian berjenama mahal, atau barangan hiburan tidak seharusnya dibiayai melalui BNPL.
Perlukah BNPL diletakkan di bawah Central Credit Reference Information System (CCRIS)?
Sangat wajar. CCRIS berfungsi sebagai pangkalan data untuk semua komitmen kredit individu. Dengan meletakkan BNPL di bawah CCRIS, institusi kewangan akan dapat menilai keseluruhan kemampuan seseorang sebelum meluluskan pinjaman atau pembiayaan.
Ini bukan sahaja memberi kawalan lebih baik kepada pihak institusi, malah mendorong pengguna untuk lebih bertanggungjawab. – WILAYAHKU