Berita

BNPL: Pastikan sektor kredit bertanggungjawab

- Diterbit 7 Mei 2025 12:50 PM MYT

RANG Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna yang dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini perlu mentamakan perlindungan pengguna dalam apa jua dasar berkaitan kredit.

Malah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata negara juga memerlukan rangka kerja yang bukan sahaja melindungi pengguna ttapi memastikan pembangunan sektor kredit yang mampan dan bertanggungjawab.

“Saya menyambut baik usaha kerajaan untuk membentangkan RUU Kredit Pengguna sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kewangan negara.

“RUU ini perlu merangkumi kawal selia terhadap semua bentuk kredit, termasuk skim bukan konvensional seperti Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) agar tidak wujud sebarang kelompongan dalam perlindungan pengguna,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat menambah bahawa RUU berkenaan diharap dapat menekankan aspek ketelusan dan keadilan dalam amalan pemberian kredit.

SYERLEENA

Tambahnya ia juga diharap dapat menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan.

“Selain itu, pendidikan kewangan kepada pengguna perlu diberikan penekanan agar rakyat lebih celik dalam membuat keputusan berkaitan hutang dan pengurusan kewangan peribadi,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa BNPL sememangnya semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, khususnya golongan muda.
Namun beliau berpandangan ia membawa risiko kewangan yang serius jika tidak dikawal dengan rapi.

“Penggunaan BNPL tanpa penilaian kredit yang ketat boleh mendorong pengguna kepada amalan berbelanja secara berlebihan dan berakhir dengan beban hutang yang tidak terkawal.

Ketiadaan garis panduan yang jelas dan kelemahan dalam aspek ketelusan transaksi menyebabkan pengguna terdedah kepada caj tersembunyi, penalti kelewatan serta risiko rekod kredit yang terjejas,” jelasnya.

Justeru beliau menegaskan adalah penting agar mekanisme kawal selia diperkenalkan bagi memastikan skim BNPL tidak disalah guna dan pengguna dilindungi dengan sewajarnya.

Baru-baru ini Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya memaklumkan RUU Kredit Pengguna yang dibentangkan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna berkata RUU berkenaan bertujuan melindungi kepentingan pengguna kredit secara menyeluruh dengan mengawal selia semua perniagaan kredit dan perniagaan perkhidmatan kredit.

Menurutnya rangka kerja kawal selia kredit pengguna di Malaysia pada masa ini ditadbir oleh beberapa kementerian, manakala agensi di bawah pelbagai undang-undang yang berkaitan kredit adalah berbeza-beza dan tidak setara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas