FENOMENA pembelian secara ansuran melalui kemudahan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) disifatkan sebagai ‘bom jangka’ kewangan kepada pengguna khususnya anak muda dan golongan berpendapatan rendah yang terdedah kepada krisis hutang mikro tanpa disedari.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan berkata BNPL semakin popular kerana promosi tanpa faedah dan kelulusan mudah, namun pengguna sering terperangkap dalam komitmen kewangan yang melangkaui kemampuan mereka.

“Ramai pengguna menggunakan BNPL untuk membeli barangan bukan keperluan seperti gajet, pakaian berjenama dan barangan gaya hidup.
“Tanpa pemahaman kewangan dan simpanan kecemasan, mereka akhirnya gagal membayar mengikut jadual dan terjerumus dalam kitaran hutang,” katanya kepada Wilayahku.
Pihaknya turut membangkitkan isu promosi yang mengelirukan oleh penyedia BNPL yang menyasarkan golongan muda dengan janji ‘0% faedah’ dan proses mudah tanpa semakan kredit menyeluruh.
“Pengguna tidak dimaklumkan secara telus bahawa kegagalan membayar tepat waktu boleh dikenakan penalti antara 10 hingga 15 peratus.
“Malah, kemudahan ini sering diberikan kepada mereka yang tidak layak dari sudut kemampuan, sekali gus menambah risiko gagal bayar,” katanya.
Beliau turut menegaskan perlunya langkah kawal selia ketat terhadap penyedia BNPL termasuk penetapan had siling kredit, pendedahan menyeluruh mengenai terma pembayaran serta sistem aduan yang mesra pengguna.
“Penyedia BNPL mesti diwajibkan membuat penilaian kewangan pengguna secara ketat sebelum meluluskan kemudahan. Pengguna perlu dilindungi daripada eksploitasi korporat yang hanya mementingkan keuntungan,” jelas beliau.
Dalam usaha menangani masalah jangka panjang, FOMCA katanya menyarankan agar pendidikan kewangan diperluas melalui institusi pendidikan, media serta platform digital bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
“Ramai pengguna tidak tahu bahawa gagal bayar BNPL boleh menjejaskan skor kredit mereka, sekali gus menyukarkan pinjaman penting seperti perumahan atau kenderaan,” katanya
Saravanan turut menyokong penggubalan Akta Kredit Pengguna (Consumer Credit Act – CCA) dan penubuhan Consumer Credit Oversight Board (CCOB) bagi memantau penyedia kredit bukan bank termasuk BNPL.
Namun jelasnya FOMCA menggesa agar suara pengguna diberi tempat dalam jawatankuasa dasar CCOB agar realiti lapangan tidak diabaikan.
“Kita tidak mahu CCOB hanya berfungsi secara teknokratik tanpa mengambil kira nasib pengguna. Ia mesti menjadi pelindung rakyat, bukan pelindung industri,” tegasnya.
Tambah beliau tanpa kerangka kawal selia menyeluruh, fenomena BNPL bakal menjadi krisis hutang baru dalam kalangan rakyat Malaysia jika dibiarkan berleluasa. – WILAYAHKU