Berita

BNPL: Belia terperangkap hutang digital

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 7 Mei 2025 1:13 PM MYT

PENINGKATAN ketara penggunaan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dalam kalangan belia menjadi kebimbangan utama apabila ribuan anak muda kini terjerat dengan hutang jangka panjang akibat kurangnya ilmu kewangan dan pengaruh budaya hidup mewah.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata lebih 35,000 belia telah diisytiharkan bankrap sehingga tahun lalu dan situasi ini berpunca daripada kecenderungan berbelanja melebihi kemampuan serta kebergantungan kepada kemudahan kredit digital tanpa kawalan.

“Jika dahulu masyarakat mudah terjerat melalui penggunaan kad kredit, hari ini senarionya berubah melalui aplikasi BNPL secara dalam talian yang menawarkan pinjaman cepat, mudah, tanpa dokumentasi lengkap. Ramai anak muda tidak menyedari risiko ini terhadap mereka untuk tempoh jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut beliau peningkatan kos sara hidup dan tekanan inflasi menyebabkan golongan B40, M40, ibu tunggal dan belia melihat BNPL sebagai satu jalan keluar jangka pendek untuk memenuhi keperluan harian, namun ia sebenarnya menjadi jerat kewangan yang berpanjangan.

“Aplikasi BNPL menjadi satu ruang platform untuk meminjam secara berterusan oleh golongan tersebut kerana di situ letaknya harapan untuk mendapatkan pinjaman wang yang mudah, cepat serta kurang kerenah birokrasi bagi memenuhi keperluan dan kehendak peribadi dalam menjalani kehidupan harian,” katanya.

Beliau turut menegaskan wujud kelonggaran dalam aspek kawal selia penyedia BNPL di mana kebanyakan platform tidak tertakluk sepenuhnya di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Konsep pinjaman BNPL tidak melalui proses semakan kelayakan seperti institusi kewangan. Cukup dengan salinan kad pengenalan, pinjaman diluluskan serta-merta.

“Dengan kaedah yang longgar dan mudah ini, ia sekali gus membuka ruang kepada ketagihan hutang yang tidak terkawal,” katanya.

BASHIR AHMAD

Beliau menambah bahawa kegagalan menangani isu ini boleh memberi kesan sosioekonomi besar kepada negara, termasuk kehilangan punca pendapatan, keretakan rumah tangga, peningkatan jenayah dan penglibatan dalam hutang tidak berlesen seperti along.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan bahawa jumlah transaksi BNPL telah meningkat kepada RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024, berbanding RM4.9 bilion pada separuh pertama tahun sama.

Beliau memaklumkan bahawa seramai 5.1 juta pengguna aktif direkodkan sehingga Disember 2024, dengan majoriti berusia antara 21 hingga 45 tahun, dan berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

“Walaupun tahap pinjaman masih terkawal — iaitu RM2.8 bilion atau hanya 0.2 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah — kerajaan mengambil serius perkembangan ini dan telah membentangkan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna pada Mac lalu,” katanya.

RUU tersebut akan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih menyeluruh ke atas pemberi kredit bukan bank termasuk BNPL, di samping penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi memastikan perlindungan pengguna terus diperkasa.

“Penyedia BNPL perlu mematuhi etika dan garis panduan seperti ketelusan caj, pengurusan risiko kredit, serta peringatan pembayaran secara berkala,” tambah beliau.

Dr Bashir dalam pada itu menyambut baik langkah kerajaan tersebut, namun menegaskan bahawa pendidikan literasi kewangan masih menjadi kunci utama dalam membendung krisis hutang, khususnya generasi muda.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada undang-undang semata-mata. Masyarakat perlu dididik mengenai kebijaksanaan kewangan sejak di bangku sekolah lagi, supaya tidak mudah terjerat dalam kitaran hutang yang menjejaskan masa depan mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas