GABUNGAN Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pada 9 Mei 2025.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi yang berlangsung pada 8 Mei 2025 antara Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan rundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional Negeri Sabah,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa segala keputusan berkaitan kerjasama akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan di peringkat kebangsaan.
Langkah ini dilihat sebagai satu usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan dan menyusun strategi lebih mantap dalam menghadapi PRN Sabah yang bakal menjadi ujian kekuatan politik kedua-dua gabungan selepas PRU15.
Sebelum ini landskap politik Sabah menyaksikan ketidaktentuan sejak awal 2024, termasuk perebutan jawatan Ketua Menteri, pergeseran antara pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan UMNO negeri, serta desas-desus pembubaran DUN yang semakin kencang. Ketegangan ini turut memperlihatkan wujudnya defisit kepercayaan dalam kalangan ADUN dan perubahan sokongan secara mendadak, menyebabkan kestabilan pentadbiran negeri berada dalam keadaan rapuh.
Penganalisis politik melihat kerjasama BN-PH ini bukan sahaja sebagai strategi PRN, tetapi juga satu bentuk “damage control” untuk meredakan perpecahan politik yang telah mencalar imej kepimpinan di negeri bawah bayu itu.
“Kestabilan negeri memerlukan komitmen bersama. Kerjasama ini merupakan cerminan semangat Kerajaan Perpaduan untuk mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap pentadbiran yang inklusif dan mampan,” kata kenyataan itu lagi.
Segala keputusan muktamad akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan di peringkat kebangsaan, menandakan keterlibatan langsung pusat dalam memastikan Sabah kembali berada di landasan politik yang stabil dan progresif.-WILAYAHKU