Berita

BN pertahan kerusi DUN Mahkota, majoriti lebih besar

- Diterbit 28 September 2024 9:42 PM MYT

BIARPUN berdepan tohmahan dan fitnah pembangkang kononnya memiliki rekod jenayah, calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah, 40, berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu hari ini.

Dalam pertembungan satu lawan satu itu, beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor memperoleh 27,995 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan 7,357 undi.

Kemenangan Syed Hussein diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid pada pukul 9.05 malam dengan majoriti lebih besar iaitu 20,648 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, DUN Mahkota menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menang apabila memperoleh 16,611 undi manakala calon PH Taqiuddin Cheman mendapat 11,445 undi, Mohamad Nor Lingan (PN – 7,614 undi) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan- 555 undi).

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat 66,318 pengundi berdaftar layak memilih pada PRK itu, dengan majoritinya iaitu 54 peratus adalah Melayu diikuti pengundi Cina 34 peratus dan lapan peratus pengundi India.

DUN Mahkota mula dipertandingan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN.

Dalam PRK kerusi DUN itu kali ini, Syed Hussein berdepan tohmahan pembangkang apabila dikatakan mempunyai rekod jenayah.

Walau bagaimanapun, polis mengesahkan Syed Hussein tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan yang dijalankan bersabit kes didakwa melibatkan Syed Hussein itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya dan diarahkan supaya tiada tindakan lanjut (no further action).

Menurut beliau, tiada mana-mana pihak yang dituduh dalam kes berkenaan termasuk calon BN itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas