JABATAN Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah menyediakan blok perumahan MADANI untuk setiap projek baharu, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan syarat penting yang ditetapkan bagi memastikan projek perumahan baharu dapat diluluskan, sekali gus memanfaatkan rakyat.
“Syaratnya mesti ada satu atau dua blok rumah MADANI untuk rakyat memanfaatkan… kerana perumahan MADANI untuk menyantuni kepentingan bukan sahaja penjawatan awam, tetapi kelompok B40 dan M40 yang lebih susah.
“Orang kaya, buatlah rumah banyak mana pun berapa puluh juta pun buatlah, saya tak peduli…tetapi rakyat yang lain harus dibantu, sebab itu mengapa jentera kerajaan harus dikerahkan supaya menyelesaikan masalah perumahan yang sangat rumit. Saya lihat senarai 60,000 orang menunggu untuk dapat rumah bandar raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri di sini hari ini. – BERNAMA