Selebriti

Bkay Nair bantu jana pendapatan Persatuan Sindrom Down Malaysia

BKAY Nair bantu anak-anak Sindrom Down menerusi penganjuran acara pertunjukan fesyen World Saree Day Malaysia.
- Diterbit 5 Mac 2023 12:33 AM MYT

PERSATUAN Sindrom Down Malaysia (PSDM) bersama World Saree Day Malaysia (WSDM) akan bersama-sama mengadakan program amal dengan gabungan kesenian dan kebudayaan.

Program ini turut disokong oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dan Suruhanjaya Tinggi India. Tujuan program ini adalah untuk menjana dana kepada PSDM dan dalam masa yang sama, mendidik tentang keunikan pakaian tradisional wanita India iaitu sari.

Penganjur program yang juga pengarah di syarikat Bkay Nair Resources (BNR), telah banyak melibatkan dirinya dalam pelbagai acara dan program khidmat sosial untuk wanita dan kanak-kanak yang memerlukan.

SIDANG media pertunjukan fesyen World Saree Day Malaysia di Bunglow 37, Kuala Lumpur, baru-baru ini

Kali ini, pelakon Ratu The Movie itu begitu teruja menganjurkan program amal yang melibatkan kanak-kanak Sindrom Down.

“Sebagai seorang yang meminati warisan budaya Malaysia dan telah mengambil bahagian dalam pelbagai program amal, saya berharap program ini dapat memberi peluang kepada komuniti PSDM untuk menunjukkan keupayaan dan potensi mereka.

“Dalam masa yang sama, ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut tentang tradisi dan budaya pakaian tradisional kaum India iaitu sari,” ujarnya.

SEBAGAI selebriti, Bkay Nair mahu terus berbakti kepada masyarakat.

Sebelum ini, Bkay Nair juga telah menganjurkan beberapa program seperti Miss Saree Malaysia 2019, Miss Saree Malaysia 2021, Women of Essence Leadership Series 2019 – 2021, Kem Penjenamaan Keusahawanan 2020 dan lain-lain.

Untuk info, PSDM adalah pertubuhan bukan untung yang ditubuhkan pada 2001, ia mempunyai sukarelawan kebajikan yang menjaga pembangunan dan memperjuangkan hak individu Sindrom Down (SD) di seluruh Malaysia melalui perspektif kesihatan, kebajikan, pendidikan, latihan kerjaya vokasional, dan pekerjaan.

Di PSDM, kanak-kanak Sindrom Down didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti memasak, membasuh pakaian dan pelbagai kemahiran lain demi membantu mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Oleh itu, dana yang dijana dalam program ini akan digunakan untuk membantu PSDM mendapatkan peralatan tambahan dan perbelanjaan latihan kerjaya vokasional mereke bagi membantu ahli persatuan menjadi usahawan yang berdikari dan berjaya di masa hadapan.

Mereka yang mengidap penyakit Sindrom Dorwn sering bertungkus lumus demi mendapatkan pekerjaan dan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri. Oleh itu, WSDM dan BNR berbangga untuk menyokong dan menggalakkan usahawan dalam kalangan Sindrom Down.

Menyentuh tentang sari pula, budaya pemakaian sari dalam kalangan rakyat Malaysia semakin dilupakan dan sering dimodenkan.

Oleh Itu, WSDM berhasrat untuk membawa impak sosial kepada masyarakat dengan menggalakkan generasi muda untuk terus mencintai dan menghargai seni dan budaya pelbagai kaum di Malaysia.

WSDM akan berlangsung pada 19 Mac 2023 di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, di mana persembahan daripada PSDM, JKKN, Kelab Bharat Kuala Lumpur, dan ramai lagi akan dipersembahkan.

Tetamu istimewa yang akan turut serta program ini ialah Menteri Sumber Manusia, Tuan V. Sivakumar, Timbalan Menteri Pelancongan, Khairul Firdaus, H.E Pesuruhjaya Tinggi India,  Bommireddy Narasimha Reddy dan Senator Datuk Ras Adiba. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas