Berita

Bincang topik berbaur lucah di Telegram: JAKIM kemuka aduan rasmi kepada MCMC

- Diterbit 22 Mei 2023 3:45 PM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kewujudan akaun Telegram yang membincangkan topik lucah kendalian seorang wanita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu sedang dalam tindakan serta siasatan lanjut MCMC di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Berkenaan memanggil dan membuat pertemuan dengan wanita berkenaan, JAKIM telah berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memandangkan pihak berkenaan menetap di negeri Terengganu.

“Pihak JAKIM juga telah dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pihak JHEAT bagi membolehkan satu siasatan dilakukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai seorang wanita yang didakwa menyebarkan fahaman menyimpang daripada syarak berkaitan perhubungan suami isteri dan menggunakan platform kumpulan Telegram untuk menyebarkan dakyah itu.

Antara dakyah yang dipromosikan oleh wanita itu ialah menyuruh suami merogol isteri dan isteri melayani suami umpama pelacur selain terdapat kiriman di dalam kumpulan Telegram itu yang menyuruh para suami menyakiti isteri jika enggan melayani mereka. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas