Berita

Bincang secara tertib, bukan bawa kepada pihak media – Fahmi

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 September 2024 5:29 PM MYT

DRAF memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang sewajarnya dibincangkan dengan tertib dan bukannya dibawa kepada pihak media, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata sewaktu menjadi pembangkang, pihaknya mengadakan perbincangan secara baik dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera) dan tidak membawa isu berkenaan kepada media.

“Waktu saya pembangkang dahulu, waktu itu kami bincang dengan Bera (Ahli Parlimen). Kami tidak bincang perkara ini dengan media. Jadi kalau mereka ikut langkah kami dahulu, bincang dengan baik, dengan tertib, tidak menjadi masalah.

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sudah menyatakan bahawa ini adalah draf, datanglah berjumpa, sampaikanlah pandangan dan kita boleh berbincang,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata pembangkang sewajarnya mencontohi apa yang dilaksanakan pihaknya dahulu sehingga membolehkan peruntukkan disalurkan.

“Kami uruskan dengan cukup tertib, cukup baik, tersusun dan akhirnya kestabilan dapat dicapai dan peruntukan diperoleh malah lebih penting daripada itu, sejumlah reformasi yang kami harapkan, berjaya kami laksanakan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas