KERAJAAN perlu memantau dengan lebih teliti terhadap syarikat-syarikat serta projek-projek yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Abdul Rais Abdul Latiff berkata teguran tersebut menunjukkan isu-isu yang serius terhadap pengurusan kewangan syarikat-syarikat terbabit.
“Terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti, projek atau program kerajaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi atau prosedur kerja.
“Kelemahan ini menyebabkan program, aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan,” katanya pada Rabu.
Tambah Abdul Rais, masalah utama ialah kurangnya pemantauan dan penyeliaan sehingga boleh menyebabkan penyelewengan atau ketirisan berlaku yang perlu diambil perhatian
Menurutnya, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi memastikan isu tersebut tidak lagi berulang.
“Terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan program, projek dan aktiviti yang disebabkan oleh kurangnya pemantauan, penyeliaan dan tidak ada penyelarasan yang baik.
“Ini mengundang terhadap kegagalan projek untuk disiapkan mengikut aspek yang ditetapkan di samping mewujudkan peningkatan kos sekali gus mengakibatkan pembaziran perbelanjaan kerajaan.
“Sistem pengawasan atau pemantauan berkala boleh dilaksanakan bagi memastikan kesemua aktiviti, projek atau program kerajaan dipatuhi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelasnya.
Abdul Rais menyatakan, langkah lain yang wajar diambil ialah membina pangkalan data lengkap bagi memastikan tadbir urus lebih cekap selain mengenal pasti projek-projek atau program-program yang berisiko tinggi.
“Selain itu, penyelarasan antara agensi-agensi serta kementerian juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan masalah seperti ini berulang semula. Kita tidak mahu, dana yang diberikan oleh kerajaan, dibazirkan begitu sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya laporan tersebut juga mendedahkan secara terbuka mengenai pelbagai kelemahan mahupun ketirisan berkenaan pengurusan kewangan di pelbagai agensi kerajaan.
“LKAN Siri 2/2024 mendedahkan bahawa terdapat banyak lagi kelemahan dalam tadbir urus kewangan yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi dan perbadanan yang mendapat dana daripada kerajaan.
“Ia juga memainkan peranan yang penting dalam isu ketirisan, kelemahan atau salah guna wang yang dapat didedahkan kepada orang awam, sekali gus menjadikan masyarakat sedar tentang bagaimana pengurusan tatakelola badan badan kerajaan ini dalam menguruskan perihal perbelanjaan.
“Kerugian ini boleh menyebabkan negara kita mengalami pembaziran sehingga mencapai jumlah berbilion ringgit dihabiskan.
“Justeru itu polemik atau perkara-perkara mengenai ketirisan wang dan masalah integriti serta rasuah ini perlu ditangani segera,” katanya. – WILAYAHKU