Oleh RAHANA MD
KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Bhd. (BHB) bersama anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) menyerahkan sumbangan berjumlah RM1.6 juta untuk menyokong usaha kemanusiaan dan berkaitan perubatan dalam menangani pandemik Covid-19.
BHB menyumbang RM1 juta kepada Tabung Musa’adah Covid-19 yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Tabung tersebut bertujuan memberikan bantuan kepada petugas barisan hadapan Islam dan bukan Islam yang terjejas teruk akibat wabak berkenaan.
Sumbangan telah disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pada 30 Mac lalu.
Sementara itu, Bank Islam menerusi cabang tanggungjawab korporatnya, AMAL turut menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk disalurkan kepada pihak yang terjejas.
Antaranya inisiatif bantuan kewangan kepada usahawan mikro yang terjejas teruk akibat pandemik itu.
Bantuan makanan dan barangan keperluan turut diberikan kepada universiti, rumah anak yatim, rumah orang tua dan orang kelainan upaya (OKU).
Sumbangan turut diagihkan untuk keperluan asas perubatan kepada hospital dan klinik kesihatan daerah serta bantuan pembelian barangan keperluan untuk hospital-hospital di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, menjadi amanah pihaknya untuk menjaga kesejahteraan pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat setempat.
“Covid-19 telah memberikan kesan negatif terhadap kesejahteraan dan kebajikan masyarakat dan aktiviti ekonomi di seluruh dunia, lebih-lebih lagi terhadap pengamal perubatan dan usahawan mikro.
“Sumbangan sebanyak RM1.6 juta ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu masyarakat terjejas dan kurang bernasib baik yang menerima kesan signifikan ekoran pandemik ini.
“Melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, kami berharap ia dapat meringankan beban semua pihak yang terlibat,” katanya. – WILAYAHKU