Berita

Bidang TVET buka peluang cerah 

BENGKEL kereta milik Hud Hu'ubaidullah hasil pengajiannya dalam bidang TVET di Semenyih, Selangor.
- Diterbit 19 Jun 2025 9:00 AM MYT

LEPASAN Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET, Hud Hu’ubaidullah Ismail, 34, mengakui bidang ini amat diperlukan negara.

Bekas pelajar jurusan Mekanik Kenderaan Motor di Kolej Auto Terminate Training Sdn Bhd, Kajang, Selangor ini melihat TVET sesuatu yang relevan dan peluang kerjaya cerah buat anak-anak muda.

“Sebagai lepasan TVET dan kini membuka bisnes sendiri dalam bidang ini, saya melihat ia amat relevan kerana banyak sektor perindustrian yang memerlukan kepakaran dan tenaga mahir.

“Kepada ibu bapa yang nak hantar anak mereka belajar bidang TVET ini amatlah digalakkan. Bidang TVET ini luas dan banyak bahagian. Jadi ibu bapa perlulah melihat apa kecenderungan minat anak mereka.

“Bidang TVET ini boleh menjamin peluang cerah pada masa depan asalkan minat dan terus berusaha,” katanya.

Hasil belajar dalam TVET, Hud kini membuka bisnes sendiri dan menjadi pemilik bengkel kereta Automechanic Garage, Taman Semenyih Impian, Semenyih, Selangor.

“Berbekalkan pengalaman dan bekerja di bengkel selama 10 tahun, tak dinafikan banyak yang saya pelajari. Kiranya pengalaman itu melengkapkan lagi apa yang saya belajar di kolej dulu.

“Saya mula buka bisnes bengkel sendiri pada 2021. Mungkin kalau tengok perspektif sesetengah orang anggap, bengkel kereta ini hanya untuk membaiki kereta sahaja. Sebenarnya lebih daripada itu.

“Dalam bisnes bengkel ini ia turut melibatkan pengurusan bengkel. Misalnya dulu di syarikat lama, saya bermula dengan mekanik dan menjadi pengurus cawangan di situ sebelum membuka perniagaan sendiri.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini, bidang TVET ini sebenarnya luas dan ada bermacam-macam bahagian lagi. Apa yang dipelajari bukanlah asas sahaja, tetapi lebih lagi,” katanya.

Menurut Hud lepasan TVET yang memasang impian mahu membuka bisnes sendiri, perlu mempunyai kekuatan mental selain cukup dengan ilmu.

“Dalam bisnes ini ada turun naiknya. Apabila ada perniagaan sendiri ini, apa yang penting bukan sahaja ilmu yang dipelajari, tetapi mental kena kuat.

“Selain itu, mentaliti atau cara kita berfikir juga perlu berubah. Jangan cepat berputus asa kerana kita berhadapan dengan pelbagai cabaran. Tidak semudah yang disangka.

“Jadi kita kena beritahu diri kita sendiri agar sentiasa bersedia apabila melangkah dalam bisnes sendiri. Misalnya pelanggan ada bermacam-macam ragam.

“Nak cakap pasal stres, kerja mana-mana pun ada tekanannya tersendiri. Tak boleh elak. Dalam hal ini, kita kena bijak menanganinya,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas