PEMBIAYAAN tahunan secara konsisten dalam memelihara kawasan hijau serta kawasan hutan di dalam bandar raya membangun seperti Kuala Lumpur merupakan antara usaha untuk menangani iklim ekstrem yang melanda dunia ketika ini
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata setiap kerajaan tempatan perlu melabur di dalam sektor pengangkutan awam bagi mengurangkan jejak karbon yang merisikokan kawasan hijau sebagai carbon sink.
“Jika kita terus berinovasi untuk memastikan bandar kita boleh berjalan kaki dan melabur lebih kepada pengangkutan awam, kita boleh mengurangkan lagi pelepasan karbon.
“Untuk menyesuaikan diri dengan situasi iklim yang melampau, saya juga menyokong untuk lebih banyak penyelesaian berasaskan alam semula jadi termasuk mengembangkan konsep bandar span dan menjadikan pusat bandar sebagai hab biodiversiti dan mewujudkan BiodiverCities,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai panel dalam forum bertajuk Effort to Realize a Sound Material-Cycle Society through Multilevel Climate Action di COP29, Baku, Azerbaijan pada Isnin.
Maimunah berkata menjelang tahun 2040, terdapat anggaran 1.3 bilion tan plastik yang mencemarkan udara, air dan makanan.
“Di sebalik cabaran ini, saya menganggap kita antara masyarakat yang bertuah hidup dalam bandar paling bertuah di rantau dunia yang aman,” katanya.
Beliau turut memetik penyair Azeri Nizami Ganjavi dalam puisinya mengungkapkan kata-kata pada saat kesusahan jangan putus asa, kerana titisan hujan yang jernih juga berasal daripada awan yang gelap.
“Dalam kesusahan, kita boleh mencari peluang. Mari kita gali lebih dalam, dalam diri kita mencari kemahuan untuk memberi peluang kedamaian, berdamai dengan alam semula jadi dan berdamai dengan diri kita sendiri.
“Semua pihak perlu berganding bahu dengan melaksanakan tindakan konkrit serta meletakkan garis masa dan pembiayaan demi menyelamatkan bumi untuk masa kini dan generasi akan datang.
“Tanpa kerjasama dan pendekatan keseluruhan masyarakat, kita tidak boleh berharap untuk bertahan ke abad dan tahap seterusnya,” katanya.
Beliau berkata setelah kembali ke Malaysia pada Februari tahun ini dan dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, beliau mengesahkan masalah realiti cabaran perubahan iklim adalah sangat nyata.
“Kuala Lumpur seperti kebanyakan bandar di seluruh dunia, turut menghadapi cabaran lebih besar setiap hari,” katanya.
Bekas Ketua Pengarah UN-Habitat itu turut menggesa semua negara anggota dan pemegang taruh serta pihak berkepentingan utama khususnya sektor perniagaan untuk bekerja secara kolaboratif dan mencari jalan untuk mengambil tindakan segera supaya menjadikan bumi sebagai tempat yang lebih baik daripada ketika kita mewarisinya. – WILAYAHKU