BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mencadangkan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat secara interim sebagai salah satu penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711].
Ia adalah untuk memantapkan aspek pengurusan dan penyelarasan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711].
BHEUU JPM berkata, jawatankuasa tersebut boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi menentukan fungsi sebenar agensi berpusat serta tatacara bersesuaian bagi mengendalikan pelbagai senario pendedahan kelakuan tidak wajar melalui pelbagai agensi.
“Selain itu, cadangan penambahbaikan turut merangkumi empat dasar termasuk pengubahsuaian proviso di bawah Seksyen 6 membuat pendedahan berhubung sebarang kelakuan tidak wajar, selaras dengan tafsiran di bawah Seksyen 2 Akta 711.
“Seterusnya penambahbaikan Seksyen 11 Akta 711 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat ditambah baik di mana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan suci hati dan tidak melibatkan sebarang kepentingan peribadi.
“Ketiga adalah pengenalan kaedah dan skala pengiraan ganjaran melalui Peraturan di bawah Akta 711 mengguna pakai kuasa Menteri untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Seksyen 27(1) Akta 711 dan diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.
“Yang terakhir adalah cadangan perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya penggubalan Akta 711 adalah bertujuan untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan dan memastikan supaya pendedahan tersebut disiasat dan diuruskan dengan sewajarnya.
“Cadangan pindaan dan penambahbaikan Akta 711 ini juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) Bagi Tahun 2019–2023 iaitu di bawah Strategi 5: Menginstitusikan Kredibiliti Agensi Penguatkuasaan Undang-undang dan Objektif Strategik 5.3.
“Lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan dan penetapan dasar serta enam sesi libat urus telah diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi Kerajaan, agensi-agensi penguatkuasaan utama serta badan bukan kerajaan bagi meneliti semula Akta 711 secara keseluruhannya.
“Ini adalah penting untuk mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pemegang taruh serta kesediaan badan-badan yang telah diperuntukkan kuasa terhadap mekanisme pelaksanaan dan implikasi yang mungkin berbangkit apabila pindaan ini dikuatkuasakan,” katanya.
Tambahnya melalui perangkaan dasar yang tepat, pindaan ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada pemberi maklumat, tetapi juga boleh meningkatkan keyakinan kepada masyarakat supaya lebih yakin untuk mendedahkan apa-apa kelakuan tidak wajar.
“Cadangan pindaan ini juga diyakini dapat membantu Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat MADANI yang akan sentiasa menolak perbuatan salah laku, rasuah dan pelanggaran integriti dalam kehidupan seharian,” ujarnya. – WILAYAHKU