Oleh DEEL ANJER
BELUM sampai setahun mendirikan rumah tangga, tiba-tiba muncul khabar angin bertiup kencang tentang perceraian pengarah dan pelakon popular, Syamsul Yusof bersama Ira atau nama lengkapnya Faghirah Fatini Kazaruddin.
Apa yang lebih sadis Ira didakwa diceraikan suaminya melalui aplikasi WhatsApp. Betul ke?
Bukan itu sahaja, sebuah portal melaporkan kononnya anak kepada pelakon, Kazar Saisi itu juga telah dihalau keluar dari rumah mereka.
Dalam pada itu, ibu bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam dan isterinya Datin Patimah Ismail enggan memberikan komen tentang desas-desus perceraian anaknya bersama isteri, Ira Kazar seperti yang hangat diperkatakan.
“Apa yang berlaku pada masa akan datang, saya tidak tahu. Bagi saya dia (Ira Kazar) adalah isteri tidak berdaftar. Jadi saya tidak mahu komen apa-apa,” kata Patimah.
Difahamkan juga, Syamsul juga sudah lama tidak pulang ke rumah untuk berjumpa dengan mereka.
Untuk rekod, Ira sah bergelar isteri kepada Syamsul pada 5 Januari lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada bulan yang sama.
Disebabkan itu, isteri pertama Syamsul, Puteri Sarah nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun lalu. – WILAYAHKU