BERTUGAS dalam kawasan Taman Banjaran Crocker (TBC) yang meliputi kawasan seluas 46,500 hektar bukan sesuatu yang mudah tetapi bagi Simun Limbawang, 57, ia bagai ‘alah bisa tegal biasa’.
Sejak Disember 2017, beliau berkhidmat sebagai ketua sub stesen Inobong, Penampang, yang terletak dalam kawasan TBC, kendalian Taman-Taman Sabah (TTS).
Simon adalah antara Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan 35 tahun TTS bagi tahun 2020. Majlis ini diadakan pada April lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ( SICC) di sini.
Menurut anak jati Kampung Kiulu Baru, Tawau ini, pengalaman membesar dalam suasana kampung menjadikan beliau cekal bekerja dalam suasana hutan dan tanpa berfikir panjang menerima tawaran bekerja sebagai pekerja am di Taman Bukit Tawau (termasuk dalam TTS) pada Julai 1985 di bahagian pengurusan dan operasi sehingga tahun 1999.
Pada tahun yang sama (1999) beliau dipindahkan ke bahagian penyelidikan dan pendidikan Taman Bukit Tawau sehingga 2017 sebelum kembali ke bahagian penyelidikan dan pendidikan merangkap ketua sub stesen Inobong, Penampang.
“Sub stesen Inobong adalah antara salah satu kawasan tumpuan peminat aktiviti lasak seperti mendaki, berbasikal selain mempunyai air terjun Kibambangan setinggi tujuh meter, tempat berkhemah, pelbagai jenis kayu hutan dan dapat melihat matahari terbenam.
“Stesen ini mula beroperasi pada tahun 2003 sebagai pusat maklumat dan penyelidikan terletak di bahagian utara TBC dengan jumlah keseluruhan keluasan substesen ini ialah 27.4 peratus daripada keseluruhan TBC,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp baru-baru ini.
Simun berkata tarikan utama di substesen itu ialah laluan garam yang menghubungkan masyarakat pedalaman (Tambunan) dengan masyarakat bandar (Inobong Penampang) dan sangat mencabar untuk penggemar aktiviti lasak apatah lagi laluan berkenaan juga dihuni oleh banyak pacat.
Menurut Simun, TTS menamakan laluan itu sebagai laluan garam kerana pernah menjadi laluan utama penduduk di Tambunan ke Pekan Donggonggon, Penampang suatu ketika dahulu untuk membeli garam dan keperluan lain. Mereka menggunakan sistem barter (amalan menukar barang tanpa membabitkan mata wang).
Pendaki yang ingin mencuba pengalaman menggunakan laluan garam perlu melalui perjalanan sejauh 35.8 kilometer dari stesen itu ke Kampung Tikolod di Tambunan. Mereka bagaimanapun perlu mendaftar di sub stesen Inobong.
“Ada juga kawasan di laluan itu tidak berpenghuni apabila penduduknya sudah berpindah bagi memudahkan anak-anak mereka ke sekolah selain memudahkan menjalankan kegiatan pertanian kerana di dalam kawasan TTS ini ada peraturan yang perlu dipatuhi,” katanya yang akan berpindah ke Taman Bukit Tawau sebagai Renjer di kawasan berkenaan.
Simun mengakui sememangnya bukan mudah untuk mengendalikan kawasan seluas itu namun dengan bantuan lapan orang kakitangan, urusan kehadiran pengunjung ke kawasan itu berjalan dengan lancar.
Sepanjang bergelar kakitangan TTS, beliau berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakannya apabila dia diundang menjadi hos salah sebuah rancangan televisyen dari Jepun yang mengadakan dokumentari di Pulau Selingan pada tahun 1991.
Penggambaraan dua hari satu malam itu berkisar tentang dokumentari penyu yang naik ke daratan untuk bertelur bagi rancangan kanak-kanak di Jepun dan diterjemah ke dalam bahasa Jepun.
Bagi mereka yang ingin bermalam di Inobong, terdapat dua blok asrama yang mampu menampung penginap seramai 24 org, sebuah chalet, rumah rehat, mini dewan dan kawasan untuk berkhemah.
Sub stesen Inobong adalah antara lapan stesen yang terletak di dalam kawasan Taman Banjaran Crocker. Sub stesen lain ialah Gunung Alab, Mahua, Kimanis, Ulu Membakut, Melalap, Ulu Senagang dan Buayan. Stesen utama terletak di Keningau manakala dua pusat kawalan pula adalah Malunggung dan Kikiran.
Seorang lagi penerima APC yang Bernama menemu bual ialah Ros Illyahni Sh Abd Kadir, 34, Pegawai Penyelidik (Pendidikan Alam Semula Jadi) TTS yang turut berkongsi pengalamannya sepanjang bersama TTS sejak mula bekerja pada tahun 2012.
Berasal dari daerah Sandakan, Ros IIIyahni berkata antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila dia bersama rombongan TTS dan agensi lain pernah terkandas di laut hampir sejam apabila berdepan dengan keadaan cuaca hujan lebat. Insiden itu berlaku pada tahun 2013
Menurut beliau, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang dari Pulau Banggi selepas mengadakan program konsultasi pewartaan Taman Tun Mustapha bersama komuniti di pulau berkenaan.
“Ketika itu saya sebagai salah seorang sekretariat kumpulan kerja pewartaan Taman Tun Mustapha sebelum dipindahkan ke Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan, Unit Teknologi Maklumat dan Komunikasi pada 2016, ” katanya yang dilantik sebagai ketua Unit Pendidikan TTS pada tahun 2020.
Berkongsi pengalaman kerja ketika mula bekerja dahulu, Ros Illyahni berkata antara tugas yang perlu dijalankan ialah mengadakan perundingan awam dengan semua penduduk kampung di pesisir pantai Kudat, Kota Marudu dan Pitas sebelum pewartaan Taman Tun Mustapha.
“Tugas tersebut agak mencabar kerana kami perlu menjelajah ke semua kampung membuat konsultasi dan dalam masa yang sama perlu menyediakan laporan perundingan awam sebagai salah satu proses pewartaan taman,” katanya.
Taman Tun Mustapha yang diisytiharkan sebagai taman marin dibawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984 (pindaan 2007) pada 19 Mei 2016 adalah taman kesembilan dalam pengurusan TTS dan terbesar di Sabah sekali gus di Malaysia, dengan keluasan 898,762.76 hektar
Usaha pewartaan bermula sejak 2003 apabila kerajaan negeri meluluskan cadangan mewartakan taman itu sebagai kawasan yang dilindungi dan diurus secara lebih sistematik.
Taman lain yang dikendalikan oleh TTS termasuk Taman Tunku Abdul Rahman, Taman Marin Tun Sakaran, Taman Pulau Penyu, Taman Pulau Tiga dan Taman Pulau Sipadan manakala tiga di daratan iaitu Taman Kinabalu, Taman Bukit Tawau dan Taman Banjaran Crocker. – BERNAMA