Berita

Bertudung, beraksi bersama Saiful Apek.. Doa Syanie termakbul

|SYANIE bernikah dengan Zahril pada 19 Februari lalu
- Diterbit 26 Februari 2021 3:45 AM MYT

IMPIAN dan doa pelakon, pelawak serta ahli perniagaan, Syanie Hisham, 47, menjadi kenyataan apabila hasrat mahu bertudung dipilih pada hari pernikahannya dengan Zahril Hafiz Mohammed Nor sejak 19 Februari lalu.

“Saya memang ada berkongsi dengan suami (ketika itu masih berstatus tunang) mengenai keputusan nak bertudung. Dia ada bertanya bila nak ke arah itu. Saya bagaimanapun menjawab belum pasti lagi bila.

“Cuma saya ada beri bayangan akan bertudung secara rasmi pada hari pernikahan. Dia pun paling suka dengan apa yang saya bakal lakukan.

“Tanpa bercakap panjang, dia hanya tunduk bersetuju. Alhamdulillah, saya kotakan perkara itu saat kami diijabkabulkan,” katanya yang bertunang Ogos tahun lalu.

SYANIE bernikah dengan Zahril pada 19 Februari lalu

Bukan itu sahaja, impiannya mahu kembali beraksi dengan Saiful Apek juga dipermudahkan apabila Mawi menggabungkan mereka dalam filem Hantu Kuat Ketawa.

“Secara kebetulan dan bagai dipermudahkan, filem kedua arahan Mawi yang menggandingkan saya dengan Saiful Apek itu memang watak bertudung.

“Jadi, saya ‘on’ saja. Insya-Allah penggambaran filem itu akan bermula 27 Februari ini. Saya sendiri teruja kerana filem komedi seram itu akan mengimbas kembali kenangan berlakon dengan Saiful Apek suatu ketika dahulu.

“Daripada zaman filem Senario, Cinta Luar Biasa, Laila Isabella dan Biar Betul, saya sebenarnya terlalu rindu untuk kembali beraksi dengan Saiful Apek. Terima kasih Mawi kerana kembali menyatukan kami,” katanya.

Syanie melangsungkan pernikahan kali ketiganya dengan perunding kewangan berusia 41 tahun dan berstatus duda tanpa anak itu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas