Lensa

Bertarung nyawa di laut

- Diterbit 15 Disember 2023 11:40 AM MYT

Oleh SYUAIB AYOB

IKAN yang segar pastinya mudah didapati di pasar pagi, dengan harga yang lebih murah. Namun pahit jerih kehidupan mereka dalam berjuang meneruskan hidup, siapa tahu.

Nelayan merupakan pembekal sumber protein kepada kehidupan kita. Berada di tengah laut seawal pagi ketika yang lainnya diulit mimpi, mereka pulang dengan harapan memperoleh hasil yang banyak setelah seharian berada di laut. Akan tetapi, hasil tangkapan bukan boleh dijangka, adakalanya banyak, andai ada tuah. Adakalanya tidak ada langsung. Namun tetap bersyukur, kerana itu lah rezeki hari tersebut.

Melewati arus kemajuan, hasil nelayan dulu dan kini jauh berbeza terutama apabila banyak kawasan pesisir rancak dibangunkan. Namun bagi nelayan tradisional, punca rezeki itu perlu diteruskan demi mencari sesuap nasi menyara keluarga.

Prihatin dengan nasib nelayan serta menyedari pentingnya peranan mereka untuk pembangunan ekonomi negara, Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan serta Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan untuk golongan nelayan bagi mengurangkan beban mereka terutama dalam berdepan ketidak tentuan hasil tangkapan laut.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan subsidi diesel kepada harga terendah iaitu RM1.65 seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun serta peruntukan RM10 juta bagi membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur.

Tiada pencen, tiada pendapatan tetap, hanya usaha dan tawakal menjadi bekal. Bantuan itu sedikit sebanyak pastinya membantu golongan nelayan meneruskan kehidupan dalam waktu mencabar ini dan membolehkan mereka menarik nafas lega. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas