Selebriti

Bersilat dalam teater Dang Anum, Adam Shahz diintai pengarah aksi

- Diterbit 30 September 2024 7:09 AM MYT

PELAKON Adam Shahz akui sejak diberi peluang bersilat di dalam teater Dang Anum (The Untold Story), dia mula diintai penerbit dan pengarah bergenre aksi dan silat.

Namun, pelakon Juvana itu terpaksa menolaknya atas sebab-sebab tertentu.

“Tapi ada yang saya terpaksa tolak, tidak mahu mencacatkan karya orang lain dengan gerak sumbang silat saya.

“Ada juga tawaran untuk melakukan persembahan silat di pentas susulan persembahan saya dalam teater Dang Anum tahun lalu,” katanya.

Walaupun masih belum bersedia untuk menerima pelawaan berkaitan silat di filem, Adam kini dalam proses pengajian silat gayong bersama pelakon filem Geran, Lekiu Qohar.

“Saya bukan seorang pesilat tapi setiap kali latihan, saya akan kongsi klip melakukan latihan bersilat di sosial media untuk melihat maklum balas mereka yang pakar.

“Malah beberapa rakan artis yang handal bersilat seperti Fad Anuar, memuji gerak silat saya sebab nampak ‘authentic’, tidak sumbang,” kata Adam.

Pelakon yang memegang watak Tun Bija Ali di dalam teater ini menegaskan, jika orang yang mengajar silat itu sumbang, maka langkahnya juga turut sumbang.

Oleh itu, dia bersyukur kerana banyak ilmu gerak silat dipelajari dari rakan pelakon yang berpengalaman seperti Md. Husin melalui Teater Dang Anum yang telah dipentaskan baru-baru ini.

“Hasil koreografer silat dari beliau, nampak seakan saya seorang yang pandai bersilat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pengarah teater, Amirul Haswendy Ashari, berkata, teater kali ini telah menarik minat ramai penonton dari pelbagai latar belakang.

“Teater kali ini lebih menarik dari segi aksi silat, komedi, drama dan ‘tasmat’.

“Ini kerana ruang untuk bermain teater lebih besar, jadi segala unsur tarikan dalam teater ini juga besar dan mengkagumkan,” katanya.

Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) dengan jayanya telah mementaskan Teater Dang Anum (The Untold Story) pada 27 sehingga 29 September baru-baru ini bertempat di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin (Cempaka Sari), Putrajaya.

Selain Adam Shahz, pelakon lain antaranya Ain Sufia, Along Eyzendy, AG Hafiz, Karl Dannish, Aman Salleh, Md. Husin dan Affan Mohd. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas