Selebriti

‘Bersedekahlah ketika kita susah’ – Afdlin Shauki

- Diterbit 5 Oktober 2023 7:14 AM MYT

BERSEDEKAH ketika susah? Sudahlah dalam keadaan sukar dan kesempitan wang, bagaimana pula mahu bersedekah? Mungkin itulah yang dirasai oleh segelintir individu. Bukan mudah untuk memberi sedangkan diri sendiri kekurangan.

Berkongsi pengalaman tentang perkara tersebut, pelakon, penyanyi dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki, 52, berkata kuasa bersedekah itu amatlah luar biasa dan dia pernah melalui situasi tersebut.

Yakin dengan kelebihan bersedekah, Afdlin mengakui tidak dapat melupakan kisah yang pernah dilaluinya ketika berjuang menentang kezaliman Israel ke atas Palestin.

Datuk Afdlin Shauki

“Waktu itu saya tak ada duit kerana disenaraihitamkan oleh sebuah televisyen swasta disebabkan saya boikot produk Israel. Pihak produk itu nak masuk iklan dalam rancangan saya, tetapi saya tolak. Iyalah, ketika itu isu kekejaman terhadap Palestin sedang hangat diperkatakan.

“Masa tu saya tetap dengan pendirian saya berjuang untuk agama. Jadi itu yang saya harus terima (sebagai ujian). Selebihnya saya percaya Allah akan bantu.

“Kita buat baik sahaja, Allah akan uji kita, sama ada kita ikhlas atau tidak untuk membantu Palestin. Padahal, kalau terima saja tawaran (iklan produk Israel), sudah tentu duit ada. Tak payah susah-susah.

“Dalam masa yang sama juga, waktu itu saya menunaikan umrah buat kali pertama dengan emak saya. Bayangkan ketika di Makkah saya hanya ada RM500 sahaja. Sebelum pergi, dalam hati tertanya-tanya cukup ke RM500 untuk perbelanjaan di sana.

“Semasa di lapangan terbang, adik-beradik bersedekah beri duit, jadi lega sikit. Sampai di Makkah, hari pertama tu duit dah banyak guna, dalam hati risau sangat takut tak cukup,” ceritanya.
Afdlin yang akan muncul dengan filem terbaharu arahannya, Harimau Malaya percaya, Allah sentiasa membantu hamba-Nya yang dalam kesusahan. Ketika itu, dia tidak menyangka mendapat khabar gembira dan bersyukur dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Pada hari ketiga saya dapat panggilan dari Malaysia, pengurus kata akaun saya ada RM150 ribu. Duit tersebut merupakan bayaran untuk iklan yang sepatutnya dibayar lambat lagi. Saya lega sangat. Apabila Allah menghendaki semuanya berjalan mudah.

“Emak pun boleh beli apa yang dia nak dekat sana. Alhamdulillah, perjalanan umrah pun lancar,” ujarnya menceritakan detik-detik bahagia bersama arwah ibunya.

Kejadian demi kejadian indah yang pernah dilaluinya sentiasa mengingatkannya untuk terus memberi selagi termampu.

“Apabila kita susah, apa perkara pertama yang harus kita buat? Itu yang selalu saya tanya pada diri sendiri. Keadaan yang paling ramai orang terkesan adalah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

“Apa yang saya buat ketika PKP, saya ada duit lebih kurang RM10 ribu, duit itu saya buat sedekah sedangkan masa itu tidak ada job. Orang sekeliling saya ada cakap, simpanlah untuk kegunaan keluarga. Saya cakap masih ramai yang lebih susah di luar sana.

“Kita masih boleh makan, sedangkan ramai yang tak dapat nak makan. Ketika itu juga saya buat pengumuman, sesiapa yang perlukan bantuan boleh beritahu Yayasan Afdlin Shauki.

“Ramai yang mengadu tak ada makanan, ubat dah habis dan macam-macam lagi. Kami bagi sahaja apa keperluan mereka sehingga duit itu habis,” kongsinya agar menjadi pengajaran kepada mereka di luar sana.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas