KELAH Buku @ Putrajaya bakal menghimpunkan peminat buku serta aktivis perbukuan bagi memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Program komuniti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Persatuan Booktube Malaysia (BooktuberMY) dengan kerjasama Perbadanan Kota Buku (PKB), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Zonnique Creative Solutions ini akan berlangsung dari pukul 7 pagi hingga 7 malam (14 Disember) bertempat di Taman Botani Putrajaya dengan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur.
Pengarah MBKM merangkap Penasihat program, Mohd Khair Ngadiron berkata inisiatif ini menggabungkan elemen literasi dan rekreasi dalam satu platform inklusif untuk memupuk budaya membaca khususnya dalam kalangan murid-murid sekolah dan keluarga.
“Program ini juga menjadi ruang pertemuan kelab pembaca buku, penggiat industri buku serta pencinta literasi untuk berkongsi idea dan memperluas jaringan sosial.
“Acara ini juga dilihat bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan pembacaan tetapi juga mencetuskan daya tarikan baharu bagi golongan muda dan keluarga melalui aktiviti yang interaktif dan santai,” katanya pada Sidang Media Kelah Buku @ Putrajaya 2024 di Glasshopper Putrajaya yang juga selaku rakan santapan Kelah Buku.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar.
Dalam masa sama, Mohd Khair berkata Kelah Buku belum pernah dianjurkan di Malaysia atau sekurang-kurangnya tiada direkodkan sebagai acara rasmi.
“Namun, konsep seperti ini boleh dianggap inovatif dan menyerupai program komuniti literasi lain yang menekankan penglibatan masyarakat.
“Ia boleh menjadi satu inisiatif baharu yang menonjol terutama jika pendekatan literasi itu digabungkan dengan elemen rekreasi seperti yang dirancang.
“Acara ini bukan sahaja boleh menjadi platform untuk mempromosikan pembacaan tetapi juga mencetuskan daya tarikan baharu bagi golongan muda dan keluarga melalui aktiviti yang interaktif dan santai,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Program, Hafiz Latiff ketika ditemui pemberita memaklumkan terdapat pelbagai acara menarik turut sama dianjurkan antaranya pertandingan mewarna, aktiviti memanah serta permainan tradisional.
“Program yang mengangkat tema ‘Membudayakan Membaca, Mendekatkan Komuniti’ ini diharap dapat menarik minat ramai pencinta buku dan literasi untuk hadir bersama-sama memeriahkan penganjuran.
“Orang ramai diseru untuk hadir ke program ini, bukan sahaja untuk menikmati pelbagai aktiviti yang telah disusun, tetapi juga untuk bersama-sama membentuk masyarakat yang lebih cintakan ilmu dan budaya membaca,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi sekretariat program di media sosial rasmi Kelah Buku atau e-mel [email protected]. – WILAYAHKU