KECOH dalam media sosial kononnya Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, tidak dibenarkan berkempen sempena Pilihanraya Kecil (PRK) Nenggiri dan Gua Musang. Ada yang mendakwa Rafizi tidak disukai rakyat dan kehadirannya boleh menjejaskan undian pada hari PRK nanti.
Malah ada yang mendakwa situasi itu telah menyebabkan berlakunya salah faham dan pergaduhan sesama sendiri dalam kerajaan.
Nampaknya fitnah tersebut adalah tidak berasas. Menurut Rafizi yang juga Timbalan Presiden parti PKR, UMNO mengetuai kempen bagi PRK Nenggiri kerana parti itu lebih tahu tentang kawasan Nenggiri dan Gua Musang.
Rafizi berkata justeru lebih baik UMNO mengetuai kempen tersebut sementara dia menumpukan perhatian terhadap tanggungjawabnya selaku menteri ekonomi.
“Jadi pendekatan kita ialah selalu guna ayat ini, kita saling melengkapi. Ada kerusi yang rakan kita lebih kuat, jadi mereka akan ketuai (kempen).
“Sebab itu (mengambil kira) keadaan sekarang, perkara yang terbaik ialah serahkan kepada UMNO untuk ketuai kempen sebab mereka lebih tahu kawasan itu berbanding kami dalam PKR atau PH,” katanya.
Rafizi berkata dia memang tidak menyertai kempen di kawasan yang tidak ditandingi PKR. Mengulas lanjut, beliau berkata dengan UMNO mengetuai kempen PRK Nenggiri, beliau dapat memberi lebih tumpuan terhadap reformasi ekonomi, seperti inisiatif gaji progresif dan isu kritikal yang lain.
“Ini cara yang lebih baik untuk menyumbang kepada kempen untuk memastikan dasar dan prestasi kerajaan berjalan dengan baik,” katanya lagi.
Pada 19 Julai lalu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata jentera gabungan itu sedia membantu calon BN untuk berkempen dalam PRK Nenggiri.
PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail. – WILAYAHKU