Berita

Berdaya saing, perkembangan ekonomi digitalisasi

LABUAN kini dalam fasa peralihan ke arah ekonomi digital.
- Diterbit 6 September 2024 3:40 PM MYT

WILAYAH Persekutuan Labuan yang dikenali sebagai pusat kewangan antarabangsa serta industri minyak dan gas kini sedang melalui perubahan pesat dalam landskap perniagaannya susulan perkembangan ekonomi digitalisasi.

Teknologi dan digitalisasi kini memainkan peranan penting dalam transformasi perniagaan di Labuan dan ia mampu mengubah cara perniagaan dijalankan dan mencipta peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi pulau itu.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Dr Jaludin Janteng, perkembangan ekonomi digital di Labuan telah membuka peluang baharu bagi syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa.

Ujar beliau ekonomi digital bukan sahaja memudahkan urusan perniagaan, tetapi juga meningkatkan daya saing Labuan sebagai hab kewangan.

“Menerusi penggunaan teknologi digital, perniagaan di Labuan dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan.

“Platform digital membolehkan syarikat untuk memperluaskan jangkauan pasaran mereka tanpa perlu bergantung kepada kehadiran fizikal, yang penting dalam persekitaran perniagaan moden,” kata beliau kepada Wilayahku.

Tambahnya, Labuan kini dalam fasa peralihan ke arah ekonomi digital dan menyaksikan peningkatan penggunaan platform e-dagang, fintech dan teknologi kewangan lain yang membolehkan transaksi lebih cepat dan efisien.

Jaludin menjelaskan bahawa perkembangan tersebut akan membawa manfaat besar kepada usahawan tempatan terutamanya dalam menarik pelaburan asing dan memajukan perniagaan mereka ke peringkat global.

Mengulas lanjut, beliau berkata memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi digital adalah penting bagi syarikat di Labuan untuk terus melabur dalam teknologi dan inovasi.

“Kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur digital yang kukuh di pulau bebas cukai ini.

“Ekonomi digital akan terus memacu transformasi perniagaan di Labuan sekali gus menjadikannya lebih kompetitif di arena global. Dengan inisiatif yang tepat, Labuan boleh menjadi peneraju dalam ekonomi digital serta membawa manfaat besar bukan sahaja kepada perniagaan tetapi juga kepada masyarakat setempat,” tambahnya.

Terdahulu, Labuan yang diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 merupakan wilayah kedua selepas Kuala Lumpur, kini mempunyai hampir 100,000 penduduk. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas